Boustead umum penamatan kontrak Amrin Awaluddin | DagangNews Skip to main content

Boustead umum penamatan kontrak Amrin Awaluddin

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Boustead Holdings Bhd mengumumkan penamatan kontrak Pengarah Urusannya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkuatkuasa 15 November ini.

 

Amrin yang menyertai Boustead sebagai Pengarah Urusan pada 6 Mei 2019, memiliki pengalaman 30 tahun dalam dunia korporat dan dilaporkan memainkan peranan penting dalam mendorong kejayaan Media Prima Bhd (MPB) dan Sime Darby Property Bhd.

 

"Bagi pihak Boustead, Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan terima kasih kepada Amrin," kata Boustead dalam kenyataan di sini.

 

aaa
                              Mohamed Khaled Nordin

 

Mohamed Khaled berkata, kepimpinan dan sumbangan Amrin sepanjang tahun lalu sebagai pengarah urusan menjadi pemangkin kepada program transformasi syarikat.

 

"Dalam tempoh ini, Boustead telah melihat kemajuan transformasi positif yang signifikan dan memastikan kehadirannya sebagai pemain utama dalam industri ini, Kami mendoakan yang terbaik kepada Amrin," katanya.

 

Lembaga Pengarah telah memulakan proses formal untuk mengenal pasti calon bagi jawatan Pengarah Urusan.

 

"Lembaga Pengarah meletakkan kepercayaan penuh terhadap pihak pengurusan dalam menguruskan operasi harian Boustead Group bagi memastikan tiada gangguan dalam kemajuan inisiatif transformasi syarikat untuk mengubah Boustead menjadi organisasi lestari dan berprestasi tinggi menjelang 2023," tambah Mohamed Khaled. - DagangNews.com