Bumi Armada tutup anak syarikat minyak dan gas di Brazil | DagangNews Skip to main content

Bumi Armada tutup anak syarikat minyak dan gas di Brazil

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Bumi Armada Berhad (BAB) mengumumkan bahawa Bumi Armada Do Brasil Servicos Maritimos LTDA (BADBSM) telah dibubarkan pada 22 Julai 2021. 

 

Perkara itu didedahkan BAB di Bursa Malaysia, yang memiliki kepentingan secara tidak langsung di dalam BADBSM selepas kumpulan menerima kelulusan Lembaga Perdagangan pada 28 Julai 2021 mengenai pendaftaran Minit Mesyuarat Pemegang Kuota.

 

BADBSM telah diperbadankan pada 7 Mei 2011 di Brazil. Modal yang diterbitkan oleh BADBSM bernilai R$12.38  juta (sekitar RM10.3 juta) merangkumi R$1 sesaham.

 

“BADBSM secara dasarnya terlibat dalam menyediakan sokongan perkhidmatan operasi lepas pantai bagi industri penerokaan, pembangunan dan pengeluaran minyak, gas natural dan hidrokarbon lain,” jelas BAB. 

 

BADBSM didakwa tidak aktif sejak tahun 2019, seterusnya pembubaran syarikat dilihat sejajar dengan langkah kecekapan kumpulan.

 

Tambah BAB, langkah tersebut dijangka tidak mendatangkan sebarang impak material ke atas perolehan atau aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2021. 

 

“Tiada Pengarah atau pemegang saham BAB atau individu berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam pembubaran BADBSM,” jelas BAB.

 

Setakat 4.42 petang, harga saham BAB menyusut 1 sen kepada 42 sen. - DagangNews.com