Bursa ditutup rendah, ringgit mengukuh | DagangNews Skip to main content

Bursa ditutup rendah, ringgit mengukuh

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Pasaran tempatan mengakhiri dagangan lebih rendah hari ini setelah susut 0.98 mata kepada 1,635.71 mata. 

 

Indeks utama FBM KLCI bergelut untuk mengekalkan kenaikannya dalam dagangan tengah hari, setelah dibuka tinggi pada 1,646.24 mata apabila diheret turun kaunter pengeluar sarung tangan getah. 

 

Malah, dalam pasaran yang lebih luas sentimen masih bercampur-campur memandangkan para pelabur perlu mencerna langkah yang diambil kerajaan apabila melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) dan mengisytiharkan darurat. 

 

Dalam dagangan hari ini, ia menyaksikan 6.49 bilion saham diniagakan bernilai RM4.87 bilion. 

 

Kaunter untung juga hampir menyamai rugi pada 584 berbanding 583 manakala 430 kaunter tidak berubah. 

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, keyakinana pasaran sudah semakin stabil dan bergerak lebih tinggi dalam tempoh terdekat dan sederhana menghampiri paras asas 1,562 hingga 1,572 mata. 

 

"Meskipun PKP 2.0 dan pengisytiharan darurat menyebabkan risiko penurunan dalam pertumbuhan dan hasil korporat, pelabur masih melihat ada harapan di sebaliknya. 

 

"Pelancaran vaksin COVID-19 dan dasar monetari dan fiskal yang akomodatif akan terus menggalakkan ekuiti," katanya dalam nota kajian. 

 

Secara teknikal, menurutnya, peningkatan berterusan dalam rintangan akan melonjakkan FBM KLCI lebih tinggi mencecah 1,650 dan 1,667 mata. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0380/0420 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam pada RM4.0410/0460. 

 

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes dalam laporan Bernama berkata, unit tempatan itu dijangka kekal stabil seiring dengan peningkatan positif harga tenaga pada minggu ini.

 

Setakat petang ini, lapor Reuters, harga minyak melonjak tinggi selepas Amerika Syarikat (AS) mengurangkan bekalan minyak mentah bagi tempoh 5 minggu berturut dan data China yang menunjukkan import meningkat walaupun kes jangkitan wabak semakin melonjak.  

 

Brent menokok 13 sen kepada AS$56.19 setong manakala West Texas Intermediate naik 20 sen kepada AS$53.11 setong.

 

Standard Chartered mengunjurkan ringgit berlegar pada paras RM3.95 berbanding dolar AS pada pertengahan tahun ini manakala RM3.90 menjelang akhir tahun ini. - DagangNews.com