KUALA LUMPUR 13 Sept - Bursa Malaysia Securities Bhd menegur secara terbuka dan memerintahkan pembatalan Kho Kian Lock sebagai orang berdaftar Bursa Securities kerana menjalankan dagangan tanpa kebenaran dan menyalahgunakan dana milik dua pelanggannya.
Kho, yang berkhidmat sebagai wakil peniaga atau remieser bertauliah Affin Hwang Investment Bank Bhd, didapati telah melaksanakan banyak dagangan peribadi dan yang tidak dibenarkan dalam akaun pelanggan, kata Bursa Securities.
Ini termasuk menjual saham di kaunter tertentu tanpa pengetahuan atau kebenaran pelanggan.
Hasil itu kemudiannya digunakan untuk membiayai dan mengimbangi kerugian kontra Kho daripada dagangan yang tidak dibenarkan tersebut.
Kho didapati telah melanggar Peraturan Bursa Malaysia Securities, dibaca bersama Perenggan 11.2(a) Arahan No 5-001 Arahan dan Panduan Organisasi Sertaan. Dia juga didenda RM27,600.
Kho juga menerima dana daripada pelanggan ke dalam akaun banknya, dan bukannya memastikan pelanggan membuat pembayaran terus kepada organisasinya untuk pembelian saham.
“Bursa Malaysia Securities melihatnya sebagai salah laku serius yang menjejaskan kelakuan profesional dan integriti Orang Berdaftar dan menjejaskan perlindungan pelanggan kerana salah laku tersebut boleh menjejaskan dan merosakkan integriti pasaran dan keyakinan awam.
“Bursa Malaysia Securities tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap sesiapa yang terlibat/menyertai salah laku tersebut atau gagal menjalankan tugas mereka dengan penuh integriti, termasuk memecat Orang Berdaftar daripada Daftar dan mengenakan denda yang setimpal dengan keterukan pelanggaran itu,” katanya.
Bursa Securities berkata bahawa sekatan yang dikenakan mempertimbangkan penggunaan dana pelanggan Kho untuk menjalankan dagangan tanpa kebenaran untuk menjana komisen untuk dirinya sendiri.
Usaha Kho "dalam menggantikan saham tertentu yang dijual olehnya dalam akaun pelanggan dan apa-apa wang yang dibayar oleh KKL kepada pelanggan tidak mengurangkan tahap keterukan pelanggaran atau membebaskannya daripada pelanggaran, atau mengurangkan pelanggaran". - DagangNews.com