Bursa, ringgit kurang pemangkin | DagangNews Skip to main content

Bursa, ringgit kurang pemangkin

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Bursa tempatan masih berlegar di bawah paras 1,600 mata walaupun mengakhiri dagangan hari ini dengan menokok 0.12%. 

 

Indeks utama FBM KLCI naik 1.94 mata untuk ditutup kepada 1,596.74 mata setelah bergerak dalam jajaran antara 1,595.02 hingga 1605.7 mata.

 

Keseluruhan pasaran juga mendatar dengan kaunter untung hampir menyamai rugi pada 586 berbanding 535 manakala 454 kaunter tidak berubah. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 6.63 bilion berjumlah RM4.81 bilion, berbanding semalam sebanyak 6.72 bilion bernilai RM4.29 bilion. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, bursa tempatan hari ini mengatasi trend pasaran serantau yang lain seperti Korea Selatan, Filipina, Jepun dan Hong Kong yang merosot. 

 

"Para pelabur terus membeli saham-saham berkaitan sarung tangan getah di tengah-tengah peningkatan jangkitan COVID-19.

 

"Ini telah melonjakkan saham pengeluar sarung tangan getah seperti Top Glove, Supermax dan Hartalega yang merupakan sebahagian daripada komponen utama FBM KLCI, meningkat sehingga 3% dalam dagangan hari ini," katanya kepada DagangNews.com.

 

Indeks penjagaan kesihatan juga meningkat 1.8% dan muncul antara kaunter yang mencatat keuntungan besar. 

 

Bagaimanapun, keuntungan dihadkan oleh pemain industri telekomunikasi yang semuanya mencatat kemerosotan.  

 

Menurut beliau, minggu hadapan, semua pihak tertumpu kepada mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

 

Pasaran tempatan pula akan menyaksikan penyertaan pelabur yang perlahan menjelang cuti pada pertengahan minggu.  

 

Namun, katanya, bagi pasaran kewangan pula, ringgit dijangka diniagakan antara julat RM4.02 hingga RM4.03 berbanding dolar AS pada minggu hadapan disokong oleh langkah Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada Rabu. 

 

Ringgit petang ini ditutup pada RM4.0400/0430 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam, RM4.0280/ 0320.

 

Sementara itu, Inter-Pacific Research Sdn. Bhd. dalam buletin hariannya berkata, ekuiti Malaysia kelihatan semakin tidak menentu walaupun terdapat tanda-tanda pemulihan. 

 

"Secara dasarnya, pasaran dihambat oleh kebimbangan apabila jangkitan COVID-19 semakin meningkat yang dilihat akan menjejaskan pemulihan ekonomi dan hasil korporat pada suku pertama 2021. 

 

"Tambahan pula, dengan lanjutan PKP boleh meningkatkan sentimen di sebalik prestasi ekonomi yang terkesan berikutan langkah terbaharu ini," katanya. 

Kerajaan buat masa ini mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 6.5 hingga 7.5% bagi tahun ini di sebalik pelaksanaan PKP 2.0 dan pengisytiharan darurat. - DagangNews.com