KUALA LUMPUR 23 Ogos - Cabnet Holdings Berhad meraih kerja-kerja subkontrak bernilai RM23.2 juta di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya, Cabnet Systems (M) Sdn Bhd telah menerima surat latikan sebagai subkontraktor daripada Unique Arena Sdn. Bhd. pada 23 Ogos 2022.
Katanya, surat lantikan itu adalah melibatkan kerja-kerja membekal, menghantar, memasang, memeriksa serta menguji barangan yang diperlukan untuk Packages F18–Containments untuk Sistem IT & Komunikasi di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas.
"Nilai sub-kontrak ialah berdasarkan harga tetap dengan kadar tetap dan tidak tertakluk kepada kenaikan harga sepanjang tempoh projek itu berlangsung," katanya.
Syarikat itu berkata, kerja-kerja bagi projek itu akan bermula pada tarikh yang sama dan dijangka siap sepenuhnya pada 13 Mac 2023.
"Sekiranya Cabnet gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan atau lanjutan daripadanya, ganti rugi sebanyak 0.25% daripada jumlah subkontrak akan dikenakan setiap hari dan tertakluk kepada kadar maksimum sebanyak 20%.
"Tempoh liabiliti kecacatan adalah 24 bulan bermula dari tarikh penerimaan akhir keseluruhan oleh pemilik," katanya.
Syarikat itu berkata, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatannya dari tahun kewangan berakhir 28 Februari 2023 hingga 2024. - DagangNews.com