Cadangan pindaan Akta TAT akan mengukuhkan urus tadbir, kerangka pelaburan LTAT | DagangNews Skip to main content

Cadangan pindaan Akta TAT akan mengukuhkan urus tadbir, kerangka pelaburan LTAT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - Cadangan pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera (TAT) dilihat sebagai asas penting yang bakal memacu transformasi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) agar menjadi lebih kukuh dari segi urus tadbir selain dapat menambahbaik kerangka pelaburan mengikut fokus aset strategik. 

 

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman berkata, kerangka baharu itu akan memberi jaminan pulangan yang mampan dan kompetitif kepada pencarumnya yang terdiri dalam kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

"Sejak Jun lalu, LTAT telah memainkan peranan aktif dalam menerajui sesi libat urus bersama pihak berkepentingannya agar transformasi LTAT diselaraskan dengan teras Pelan Strategik Kementerian Pertahanan 2022 (PT22). 

 

"Sinergi bersama Kementerian Pertahanan ini amat penting agar transformasi LTAT dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi mengukuhkan perlindungan sosial serta menjamin kelangsungan hidup masa hadapan anggota tentera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin berkata, cadangan dasar pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera sudah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu lalu dan memberi kelulusan secara prinsip serta perkara itu akan dibawa ke Parlimen untuk dipinda pada tahun ini.

 

Antara inisiatif penambahbaikan Akta TAT ialah pindaan di bawah Seksyen 12 akan membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka setelah bersara dan baki yang masih tersimpan di dalam LTAT layak menerima dividen.

 

Pindaan di bawah Seksyen 15 akan memastikan pelaburan yang dijalankan LTAT adalah berdasarkan kepada kerangka aset strategik (SAA) serta polisi pelaburan bagi memberi pulangan dividen yang lebih kompetif dan mampan kepada pencarum.

 

Mewujudkan peruntukan seksyen baru bagi mendapatkan jaminan kerajaan ke atas simpanan persaraan pencarum LTAT, sama seperti jaminan Kerajaan terhadap simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

 

Selain itu, penambahbaikan Akta TAT juga mengukuhkan tadbir urus LTAT sebagai dana persaraan seperti menetapkan kewajipan kepada ahli Lembaga, Pengurusan dan pegawai LTAT untuk melindungi kepentingan pencarumnya, serta menambahkan komposisi ahli bebas panel pelaburan yang terdiri daripada individu yang berpengalaman dan berwibawa dalam aspek pelaburan. - DagangNews.com