Caj ujian Covid-19 ditetapkan | DagangNews Skip to main content

Caj ujian Covid-19 ditetapkan

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mula menetapkan kadar caj ujian pemeriksaan Covid-19 mengikut jenis ujian yang dijalankan kepada warganegara dan bukan warganegara. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kadar caj itu dibuat berdasarkan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Caj Bagi Ujian Pengesanan Penyakit Coronavirus 2019) yang berkuat kuasa mulai 29 Jun.

Antara kadar caj yang dikenakan adalah seperti berikut;

  • Ujian tindak balas berantai RM150 bagi warganegara, RM250 bukan warganegara.
  • Ujian Pantasantigen RM60 bagi warganegara, RM120 bukan warganegara.
  • Ujian Pantas Antibodi RM30 untuk warganegara, RM60 bukan warganegara.

 

Tambah beliau lagi, terdapat beberapa golongan yang boleh dikecualikan caj tersebut seperti pegawai kerajaan (tidak termasuk ahli keluarga) yang pulang dari luar negara atas tugasan rasmi dan perlu mengemukakan surat arahan rasmi sebagai bukti. 

“Orang Kurang Upaya (OKU) yang pulang dari luar negara juga perlu menunjukkan kad OKU yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ini juga tidak termasuk ahli keluarganya.

“Pengecualian juga diberikan kepada pelajar Malaysia yang pertama kali pulang dari luar negara berserta bukti pengajian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adham berkata, mereka yang terlibat memasuki negara ini perlu membayar caj tersebut sebelum diberi pelepasan imigresen di pintu masuk negara.

Manakala bagi warganegara atau bukan warganegara di Malaysia pula boleh memohon untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan perlu membuat bayaran mengikut kadar caj.

“Ujian itu menggunakan teknik tindak balas berantai polimerase atau kit ujian pantas antigen mengikut kesesuaian semasa.

“Ujian kit pantas antibodi pula dilakukan kepada mereka yang diletakkan di bawah perintah pengawasan di rumah pada hari ke-13 sebelum bebas daripada perintah tersebut pada hari ke-14,” ujarnya. - DagangNews.com