Carsome capai pemulihan lebih 70% | DagangNews Skip to main content

Carsome capai pemulihan lebih 70%

Carsome

KUALA LUMPUR 13 Julai - Platform dagangan kereta terpakai terbesar Asia Tenggara, Carsome mencatatkan prestasi pemulihan syarikatnya lebih 70% pada Jun dengan capaian tiga kali ganda berbanding Mei 2020.

Pengasas Bersama dan Pegawai Eksekutifnya, Eric Cheng berkata, prestasi itu membolehkan Carsome mencapai pemulihan berbentuk 'V' sejak pembukaan semula perniagaan di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

"Pada Jun, perniagaan Carsome hampir pulih sepenuhnya berbanding transaksi tertinggi sebelum perintah berkurung. Jumlah transaksi tiga kali ganda lebih banyak berbanding Mei dengan peningkatan 70%.

"Pencapaian ini berlaku walaupun kebanyakan pusat pemeriksaan Carsome beroperasi dalam kapasiti yang terhad semasa perintah berkurung berkuatkuasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Carsome merupakan platform dagangan kereta terpakai yang terbesar di Asia Tenggara yang beroperasi di Malaysia dan tiga negara lain iaitu Indonesia, Thailand dan Singapura.

Beroperasi sebagai pusat sehenti bagi semua penjual kereta dan penyedia rumusan jualan sepenuhnya bermula daripada pemeriksaan hinggalah kepada pemindahan hak milik kereta.

Pengasas Bersama dan Pegawai Eksekutifnya, Eric Cheng
Pengasas Bersama dan Pegawai Eksekutifnya, Eric Cheng

 

Hingga kini, Carsome berjaya menjalankan lebih 40,000 transaksi kereta dalam setahun dengan jumlah keseluruhan lebih AS$300 juta.

Mengulas lanjut, Cheng turut mengaitkan pemulihan itu kepada daya ketahanan sektor kereta terpakai serta peningkatan tahap produktiviti kakitangannya sepanjang perintah berkurung.

"Kami juga telah melabur dalam memperkukuh kecekapan kakitangan kami semasa Lockdown. Kami gembira dengan pemulihan bentuk 'V' yang cepat dalam masa beberapa minggu sahaja. 

"Pencapaian ini juga didorong digitalisasi dan perolehan bahagian pasaran selain model perniagaan kami juga terbukti lebih berkesan. Kami akan yakin akan mencapai rekod transaksi tertinggi pada Julai," ujarnya lagi.

Pengenalan tarif cukai baharu di Malaysia, Indonesia dan Thailand turut menyumbang kepada permintaan pengguna terhadap kereta baharu dan terpakai.

Carsome turut memberi fokus dalam mempercepatkan perkembangan produk supaya menjadi platform yang pertama dalam industri berkenaan. 

"Kami terus maju dengan pelancaran beberapa produk baharu seperti CarPartner dan CarsomeGO yang dapat melancarkan lagi aliran kerja.

"Dalam Tinjauan Pengguna Carsome yang dijalankan pada April lalu, keyakinan pengguna di Malaysia dan Indonesia terhadap perkhidmatan penjualan kereta dalam talian seperti Carsome kekal kuat. Satu dalam setiap empat rakyat Malaysia dan Indonesia akan terus menggunakan perkhidmatan penjualan kereta secara dalam talian," katanya lagi. - DagangNews.com