CCC iktiraf kontraktor tempatan bagi projek ECRL | DagangNews Skip to main content

CCC iktiraf kontraktor tempatan bagi projek ECRL

Pengarah Huls Transmission Sdn. Bhd., Asmalina Mohd. Napiah menerima Anugerah Kecemerlangan daripada Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan

 

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Kontraktor bagi Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) menganugerahkan 31 pengendali projek tempatan dan bumiputera dengan Anugerah Kecemerlangan bagi 2020.

 

Anugerah ini mengiktiraf daya ketahanan, dedikasi dan usaha pengendali projek tempatan dan bumiputera berdasarkan prestasi cemerlang dalam Pengurusan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE), Pengurusan Kualiti, Pengurusan Proses termasuk Pembahagian Peruntukan.

 

Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan berkata, 2020 merupakan tahun yang mencabar dan kemajuan projek ini adalah hasil titik peluh dan kerja keras semua pihak yang terlibat. 

 

"Tanpa mereka, projek ini tidak akan dapat berada di landasan yang tepat, justeru, ,elalui anugerah ini, kami ingin memberi penghargaan kepada semua pengendali projek tempatan dan bumiputera,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Setakat Januari 2021, projek ECRL telah mencapai kadar siap 20.37%, lebih awal berbanding 19.39% yang dijadualkan. 

 

Pencapaian ini disumbangkan melalui Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, dengan kadar kemajuan 9.47% berbanding 5.83% yang dijadualkan, begitu juga dengan Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, yang memperlihatkan kadar kemajuan kerja fizikal 0.62% lebih awal daripada jadual.

 

Menurut beliau lagi, pandemik COVID-19 telah membawa kepada norma baharu. 

 

"Kami berterima kasih kepada pengendali projek tempatan dan bumiputera yang telah memberi pertimbangan yang baik dalam menguruskan prosedur operasi standard (SOP) dengan penguatkuasaan ketat bagi memastikan
keselamatan tempat kerja,” katanya. 

 

ccc-ecrl
Ketua Bahagian Perniagaan Komersial (kiri), Ramzulhakim Ramli bersama Ketua Bahagian Bahan Api Komersial (kanan) dari Petronas Dagangan Berhad, Mohd Aaznan Darus menunjukkan Anugerah Kecemerlangan dari CCC-ECRL.

 

 

Setakat ini, sebanyak 1,241 vendor tempatan dan bumiputera terlibat dengan projek ECRL termasuk 415 subkontraktor, 746 pembekal serta 80 perunding.

 

Syarikat juga sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri dan persekutuan untuk menyediakan platform bagi menggalakkan penyertaan kontraktor tempatan dan bumiputera dalam projek ECRL. 

 

Usaha ini telah secara aktif memastikan kontraktor, pembekal dan perunding tempatan dan bumiputera yang berlayakan mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya 40% kerja sivil projek ECRL tidak termasuk kerja terowong.

 

CCC-ECRL juga telah memberikan perhatian khusus kepada kontraktor kecil dan bumiputera kategori Gred G1-G3, yang akan memberikan manfaat terus dengan keseluruhan industri pembinaan dalam negara. - DagangNews.com