Censof dapat kontrak sistem maklumat pengurusan kewangan bernilai hampir RM15 juta  | DagangNews Skip to main content

Censof dapat kontrak sistem maklumat pengurusan kewangan bernilai hampir RM15 juta 

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Century Software (Malaysia) Sdn. Bhd menerusi anak syarikatnya meraih kontrak daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi pelaksanaan sistem maklumat pengurusan kewangan seluruh perusahaan (EFMIS) yang keseluruhannya bernilai RM14.6 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Censof berkata, Century Software (Malaysia) Sdn. Bhd. menerima surat penerimaan daripada PDC pada 12 Ogos 2024 berkenaan dengan bekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pelaksanaan EFMIS.

 

"Projek ini dibahagikan kepada dua fasa yang merangkumi pembangunan dan penyelenggaraan EFMIS. Tempoh pembangunan EFMIS adalah selama satu tahun dari 1 September 2024 hingga 31 Ogos 2025. 

 

"Setelah selesai pembangunan EFMIS, penyelenggaraan EFMIS akan bermula selama lima tahun dari 1 September 2026 hingga 31 Ogos 2031 tanpa pilihan untuk melanjutkan dan/atau memperbaharui setelah tamatnya tempoh penyelenggaraan EFMIS. 

 

"Nilai projek Pembangunan EFMIS dan Penyelenggaraan EFMIS masing-masing adalah RM7,339,122.91 dan RM7,297,804.29," katanya hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Censof bekerjasama dengan firma Belanda, Storecove bagi penyelesaian e-invois

 

Menurut Censof, projek ini adalah dalam kepentingan terbaik syarikat dan anak syarikatnya dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih setiap saham Kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2025 dan seterusnya.

 

"Lembaga Pengarah tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan projek tersebut.

 

"Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama dan individu yang berkaitan dengan pengarah atau pemegang saham utama mempunyai sebarang kepentingan, langsung atau tidak langsung dalam projek ini," jelasnya. - DagangNews.com