Projek MRT3 pernah dihentikan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Ogos - Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang disambung semula oleh kerajaan dijangka membantu prospek HSS Engineers Bhd. yang lebih baik.
Penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely berkata, ia melihat kumpulan akan meraih lebih banyak kontrak menerusi projek yang dianggarkan bernilai RM20 hingga RM30 bilion itu.
"Selain itu, kami juga melihat aliran berita yang positif menjelang Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 yang boleh memberi manfaat kepada kontrak baharu bagi projek rel," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham HSS Engineers dengan harga sasaran pada 80 sen.
Pada 2018, HSS Engineers dilaporkan kehilangan kontrak bernilai RM289.9 juta sebagai perunding bebas kejuruteraan bagi projek MRT3.
Ini disebabkan kerajaan Pakatan Harapan yang mengambil alih kepimpinan negara selepas pilihan raya umum ke-14 membuat keputusan membatalkan projek tersebut.
Semalam, HSS Engineers memaklumkan untung bersih syarikat susut 40.75% kepada RM1.57 juta pada suku kedua berakhir Jun 2021 berbanding RM2.65 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan juga susut 4.46% kepada RM38.99 juta pada suku kedua berbanding tahun sebelum itu, RM40.81 juta.
Bagi separuh pertama pula, ia merekodkan untung bersih lebih rendah kepada RM3.6 juta berbanding RM4.9 juta tahun lalu manakala perolehan pula berjumlah RM82.9 juta berbanding RM82.8 juta tahun sebelumnya.
Menurut Sharizan, prestasi suku kedua terjejas disebabkan produktiviti sektor pembinaan yang lemah berikutan sekatan pergerakan secara berterusan.
Katanya, pendapatan bagi segmen rekaan kejuruteraan untuk separuh pertama pula disokong menerusi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bas Rapid Transit (BRT) Iskandar.
"Dengan pendapatan perkembang 8% tahun ke tahun pada separuh pertama, ia sepatutnya berterusan sehingga separuh kedua ini, sekali gus mengimbangi kelemahan daripada segmen pengurusan projek dan penyeliaan pembinaan," jelasnya. - DagangNews.com