CGS-CIMB jangka Beshom Holdings catat pendapatan lebih tinggi pada 2HFY23 daripada segmen runcit, borong | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka Beshom Holdings catat pendapatan lebih tinggi pada 2HFY23 daripada segmen runcit, borong

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Dis - CGS-CIMB Research menjangkakan Beshom Holdings Berhad mencatatkan pendapatan lebih kukuh pada 2HFY23 didorong hasil sumbangan tinggi daripada segmen runcit dan borong.

 

Firma itu berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan musim perayaan utama di negara ini termasuk Hari Natal dan Tahun Baharu Cina yang mendorong kehadiran orang ramai untuk membeli-belah.

 

Katanya, bagaimanapun prospek pendapatan yang rendah bagi segmen pemasaran pelbagai peringkat (MLM) kesan daripada kuasa membeli pengguna yang lemah disebabkan inflasi serta kenaikan kadar faedah.

 

"Pemulihan ahli MLM yang lebih lemah daripada jangkaan boleh memberi risiko kepada unjuran kami," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, hasil 2QFY23 Beshom jatuh 8.7% dari suku ke suku disebabkan sumbangan jualan yang lebih rendah daripada segmen MLM dan borong berpunca daripada jualan bermusim selepas perayaan Hari Raya Aidilfiyri dan promosi jualan pada 1QFY23.

 

Katanya, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 2QFY23 mengecil kepada 15.3% disebabkan campuran produk yang tidak menggalakkan, skala ekonomi yang lebih rendah dan kos pemasaran yang lebih tinggi (aktiviti pengambilan dan insentif yang agresif).

 

"Hasilnya, untung teras bersih (CNP) kumpulan itu menurun 27.9% dari suku ke suku kepada RM3.9 juta pada 2QFY23," katanya.

 

Firma itu menyemak turun unjuran pendapatan sesaham kumpulan bagi FY23-FY25 antara 34.7%-40.6% bagi mencerminkan hasil dan unjuran margin keuntungan yang rendah kesan kenaikan kos input.

 

"Kami menurunkan penarafan kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM1.36 sesaham," katanya. - DagangNews.com