KUALA LUMPUR 5 Dis - CGS-CIMB Research menjangkakan Optimax Holdings Berhad tidak akan berdepan sebarang kenaikan kos dalam jangka masa terdekat kesan daripada tekanan inflasi.
Firma itu berkata, pembekal mereka memberi bayangan bahawa harga bekalan dan bahan pakai buangnya seperti pek pembedahan dan ubat titis mata akan kekal stabil sekurang-kurangnya hingga 1QFY23.
Katanya, peningkatan 5.6% dalam kos inventori dan bahan guna guna pada 3QFY22 adalah bersifat sekali sahaja.
"Kami menjangkakan kadar cukai berkesan sebanyak 27.0-27.5% pada FY23 sejajar dengan andaian kami sebanyak 27.0%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu mengunjurkan jumlah pembedahan meningkat sebanyak 11.2% pada FY23F adalah sejajar dengan sasaran pertumbuhan 10-20% Optimax, walaupun berada bawah julat.
Peningkatan jumlah itu akan diterajui klinik satelit baharu pada 4QFY22/2023 dan pusat penjagaan ambulatori (ACC), pengenalan teknologi ReLEx SMILE Pro untuk pembedahan biasan laser di Taman Tun Dr. Ismail ACC pada 2023.
"Kami memahami bahawa masa pembedahan untuk ReLEx SMILE Pro adalah lebih pendek daripada prosedur ReLEx SMILE yang paling canggih pada masa ini, sekali gus meningkatkan jumlah pembedahan.
"Kami juga meramalkan kemasukan pesakit yang lebih besar dari Singapura ke pusatnya di Johor, memandangkan kos pembedahan mata yang rendah di Malaysia berbanding Singapura," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran RM1.12 sesaham. - DagangNews.com