Syarikat bahan binaan, Colform Group terima kelulusan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Syarikat bahan binaan, Colform Group terima kelulusan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Nov - Colform Group Berhad, pakar keluli dan bahan binaan dari Malaysia Timur menerima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

IPO ini terdiri daripada terbitan awam sebanyak 114.4 juta saham biasa dan tawaran untuk jualan sebanyak 54 juta saham biasa, mewakili 28.07% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan.

 

Hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk memperluaskan operasi syarikat dengan mewujudkan barisan pengeluaran salutan gegelung warna di kemudahan mereka di Kota Kinabalu. 

 

Pembangunan tersebut akan mengembangkan lagi rangkaian produk kumpulan, mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar untuk gegelung salutan warna dan membolehkan kawalan kualiti yang lebih baik. 

 

Kumpulan juga merancang untuk membina kemudahan penyimpanan baharu di kilang Kota Kinabalu, dengan pembinaan dijadualkan bermula pada awal tahun 2025, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan. 

 

Kemudahan berkenaan bertujuan untuk memperbaiki logistik dan pengurusan inventori ketika Colform mengembangkan operasinya.

 

Selain itu, Colform juga sedang memperluaskan operasi ke Semenanjung Malaysia dengan membuka pejabat cawangan baharu dan menyewa sebuah kilang di Klang. 

 

Langkah terbabit akan membuka peluang di pasaran Semenanjung yang lebih besar. 

 

Kumpulan juga melabur dalam sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) yang canggih untuk mempermudah operasi di seluruh lokasi, seterusnya meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan.

 

Mercury Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi Colform. - DagangNews.com