Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Nov. - CGS-CIMB Research mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor dana pelaburan harta tanah (REIT) dengan aktiviti penggantian penyewa berpanjangan menjadi risiko baharu yang dihadapi pusat beli-belah terpilih.
“Penutupan kedai Robinson Co (Malaya) Sdn. Bhd. dan pawagam akan menjejaskan perolehan buat sementara waktu ini, tetapi kami percaya prospek pemulihan IGB REIT selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih kukuh; kami kekalkan saranan ‘tambah’.
“Axis REIT tetap terlindung daripada impak negatif yang dihadapi sektor runcit; kami kekalkan saranan ‘tambah’,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.
Penghentian penyewaan menjadi risiko baharu kepada pemilik pusat beli-belah runcit.
Beberapa langkah yang diambil termasuk penutupan sementara pawagam dan pembubaran kedai Robinson menunjukkan kemungkinan penutupan beberapa gedung serbaneka tertentu, yang didorong oleh kejatuhan jualan dan penjualan sewa.
Jelas CGS-CIMB, perkembangan berkenaan termasuk pelaksanaan semula PKPB turut menekankan statistik yang dikeluarkan Kumpulan Peruncit Malaysia (RGM) di mana menunjukkan penjualan runcit untuk sub-segmen runcit bukan pasar raya pada tempoh bulan April hingga Jun menjunam 63% berbanding tahun lalu.
“Penilaian awal dan pemeriksaan saluran kami di pusat beli-belah sejak pelaksanaan semula PKPB adalah:1) kehadiran pengunjung dan penjualan penyewaan mungkin menurun sebanyak 20% hingga 30% menjelang 4Q20, dan 2) kebimbangan terhadap potensi penghentian penyewaan yang mungkin meningkat sekiranya kemerosotan jualan penyewaan berpanjangan,” tambah CGS-CIMB.
Pada 30 Oktober lalu, Robinson mengumumkan pembubaran dua buah kedainya di The Gardens Mall dan Shoppes at Four Seasons Place.
Robinson merupakan penyewa kedua terbesar di The Gardens Mall selepas Isetan dengan sumbangan RM1.5 juta berbentuk pendapatan sewa setiap bulan kepada pusat beli-belah itu.
Pada hari sama, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) sebulat suara membuat keputusan untuk menutup sementara operasi pawagam bermula November 2020.
Jelas MAFE, industri pawagam di Malaysia telah terjejas terus akibat pandemik COVID-19, dan berdepan kerugian tinggi sehingga 90% berbanding tahun lalu. - DagangNews.com