CGS-CIMB 'potong' unjuran pendapatan NTPM bagi FY23-FY25 kesan kos operasi yang tinggi | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB 'potong' unjuran pendapatan NTPM bagi FY23-FY25 kesan kos operasi yang tinggi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - CGS-CIMB Research mengunjurkan NTPM Holdings Berhad mencatatkan keuntungan teras bersih yang lebih tinggi bagi 3QFY4/23 selepas mereka mendapat manfaat daripada pengurangan kos input terutamanya untuk pulpa, kertas buangan dan pengangkutan serta ringgit yang lebih kukuh.

 

Bagaimanapun, firma itu menyemak turun unjuran pendapatan sesaham bagi FY23-FY25 antara 9.6% hingga 28.3% bagi mencerminkan kos operasi yang lebih tinggi terutama gas dan elektrik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 42 sen sesaham.

 

"Pada masa sama kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk bekalan lebih rendah untuk pulpa, harga kerta buangan yang tidak stabil selain perkembangan pasaran eksport yang statik selain kelemahan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, bagi 2QFY4/23, hasil segmen tisu meningkat 29% disebabkan oleh jualan domestik yang lebih baik berikutan pemulihan dalam aktiviti ekonomi.

 

Namun begitu, kerugian segmen tisu meningkat sebanyak 2.7 kali ganda dan 14.2% suku ke suku kepada RM8.3 juta.

 

"Penguncupan margin untung sebelum cukai yang mendadak sebanyak 2.7% disebabkan kos yang lebih tinggi untuk pulpa dan kertas buangan, pengangkutan serta utiliti, semuanya membawa kepada kerugian sebelum cukai 1HFY4/23 yang lebih luas sebanyak RM14.2 juta," katanya.

 

Firma itu berkata, hasil segmen penjagaan diri meningkat 5% disebabkan oleh jumlah jualan dan purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi.

 

Katanya, segmen itu turut dipengaruhi oleh input dan kos operasi yang lebih tinggi, membawa kepada penguncupan margin sebanyak 11.5% mata tahun ke tahun, membawa kepada untung bersih sebelum cukai menurun 67% tahun ke tahun kepada RM3.1 juta.

 

"Bagi segmen penjagaan diri, untung sebelum cukai jatuh 64% kerana ASP dan jumlah yang lebih tinggi diimbangi oleh kenaikan kos bahan mentah dan pengangkutan," katanya. - DagangNews.com