KUALA LUMPUR 28 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap prospek FGV Holdings Bhd berikutan pendapatan lebih kukuh bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24) dipacu kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah daripada jangkaan.
Katanya, untung bersih teras 9MFY24 kumpulan sebanyak RM235.5 juta berbanding RM700,000 bagi tempoh sama tahun lepas mengatasi jangkaan, mencakupi 124.5% hingga 253.9% daripada konsensus dan anggaran setahun penuhnya sendiri.
Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran keuntungan bersih teras FGV bagi FY24-FY26 sebanyak 239%, 166% dan 101%.
"Ia mencerminkan andaian harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi pada FY24-FY25, sejajar dengan semakan menaik baru-baru ini dalam andaian harga MSM seluruh sektor kami, bersama-sama dengan semakan dalam levi durian runtuh di Malaysia, dan andaian kos pengeluaran yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih bagi tiga bulan berakhir 30 September 2024 (3QFY24) mencecah RM87.16 juta.
Purata harga MSM yang dicapai meningkat 2.6% tahun ke tahun kepada RM3,980 setiap tan manakala pengeluaran tandan buah segar meningkat 20% kepada 1.2 juta tan.
Hasil melonjak 26% kepada RM6.18 bilion berbanding suku yang sama tahun lepas. Kumpulan itu bagaimanapun tidak mengisytiharkan sebarang dividen.
Bagi 9MFY24, FGV mencatatkan lonjakan lima kali ganda dalam keuntungan bersih kepada RM160.05 juta manakala pendapatan RM16.24 bilion, peningkatan 16% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Walaupun semakan menaik dalam unjuran, HLIB mengekalkan saranan "pegag" ke atas FGV dengan harga sasaran rendah sedikit sebanyak RM1.29 sesaham daripada RM1.30 sebelum ini. - DagangNews.com