CGS-CIMB semak turun EPS Mi Technovation antara 16%-19% bagi FY23-FY24 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB semak turun EPS Mi Technovation antara 16%-19% bagi FY23-FY24

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - CGS-CIMB Research menyemak turun pendapatan sesaham (EPS) Mi Technovation Berhad untuk FY23-FY24 antara 16% hingga 19% selepas mengambil kira pertumbuhan jualan peralatan yang lebih rendah.

 

Firma itu berkata, untung teras bersih Mi Technovation Berhad berkembang sebanyak 2% dari suku ke suku pada 3QFY22 disokong oleh tukaran wang asing yang menarik. 

 

Bagaimanapun, hasil 9MFY22 menyusut sebanyak 4.6% akibat sumbangan unit perniagaan peralatan semikonduktor (SEBU) rendah selepas menyusut sebanyak 42%.

 

"Kumpulan itu menyatakan jualan rendah itu berpunca daripada ketegangan geopolitik yang semakin teruk berikutan sekatan perdagangan Amerika Syarikat terhadap industri semikonduktor China.

 

"Penangguhan pesanan disebabkan pertumbuhan pelanggan yang rendah serta kekurangan alat ganti selain permintaan yang lemah dalam segmen elektronik pengguna," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil kumpulan itu untuk 3QFY22 menyusut sebanyak 21.3% kepada RM89.7 juta berbanding RM114 juta pada tahun sebelumnya.

 

SEBU menyumbang RM34.9 juta menyumbang 39% kepada hasil keseluruhan kumpulan tetapi menurun sebanyak 45.6% kepada RM29.3 juta berbanding 2021.

 

Firma itu berkata, keadaan itu bagaimanapun diimbangi jualan yang lebih kukuh daripada unit perniagaan bahan semikonduktor (SMBU) disokong oleh permintaan yang mampan pelanggan daripada pasaran Asia Utara.

 

Katanya, pengembangan bahagian pasaran pelanggannya dalam peranti mudah alih, perkomputeran berprestasi tinggi dalam segmen automotif selain purata harga jualan yang lebih tinggi.

 

"Selain itu, kumpulan itu juga menanggung susut nilai dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi dalam 9M22 berikutan penyatuan Accurus di bawah bahagian SMBU," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.24 sesaham. - DagangNews.com