CGS-CIMB unjur pemulihan pertumbuhan teras Affin Bank sebanyak 23.1% pada FY23 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB unjur pemulihan pertumbuhan teras Affin Bank sebanyak 23.1% pada FY23

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Okt - CGS-CIMB Research mengunjurkan pemulihan dalam pertumbuhan teras perolehan sesaham (EPS) Affin Bank Berhad daripada penurunan 19.4% pada FY22 kepada pengembangan sebanyak 23.1% pada FY23.

 

Firma itu berkata, pemacu pendapatan kumpulan itu pada FY23 adalah daripada ketiadaan Cukai Makmur yang akan menurunkan kadar cukai efektifnya daripada 31.7% pada FY22F kepada 24%.

 

Firma itu juga mengunjurkan penurunan 9.8% bagi FY23 untuk peruntukan kerugian pinjaman.

 

"Kami menyemak naik unjuran dividen sesaham (DPS) untuk FY22 daripada 21 sen kepada 22.5 sen bagi menyamai DPS yang diumumkan pada 18 Oktober 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan pemberian dividen istimewa sebanyak 18 sen sesaham hasil daripada keuntungan luar biasa daripada pelupusan kepentingannya dalam Affin Hwang Asset Management (AHAM). 

 

BACA JUGA: Affin Bank isytihar dividen khas 18.09 sen, dividen interim 4.53 sen susulan penjualan 63% ekuiti di dalam AHAM

 

Pemberian dividen khas itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana firma itu telah menyatakan kemungkinan itu dalam laporan bertarikh 19 Julai dan 24 Ogos 2022.

 

Bagaimanapun, pemberian dividen istimewa itu adalah lebih kecik berbanding jangkaan 22 sen sesaham dan ia mencerminkan dividen tambahan sebanyak 8.9% untuk FY22.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM2.44 berbanding RM2.31. - DagangNews.com