CIMB dijangka catat pertumbuhan pinjaman sehingga 7% menjelang akhir 2024 | DagangNews Skip to main content

CIMB dijangka catat pertumbuhan pinjaman sehingga 7% menjelang akhir 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - RHB Investment menjangkakan CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan pertumbuhan pinjaman antara 5% hingga 7% menjelang akhir tahun ini.

 

Katanya, kumpulan itu akan mencatatkan peningkatan ketara dalam pinjaman pada separuh kedua tahun ini dan pasa masa sama mengekalkan sasaran pertumbuhan pinjaman keseluruhan antara 5% hingga 7%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi Malaysia bank itu mengekalkan ramalan pertumbuhan sebanyak 5% manakala Indonesia disasar mencatatkan pertumbuhan sehingga 7%.


"Sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menurunkan kadar faedah, ia boleh meningkatkan aliran tunai di Malaysia, terutamanya jika perniagaan menukar dolar AS kepada ringgit. 

 

"Bagaimanapun, mereka percaya bahawa bank pusat Malaysia berkemungkinan mengekalkan kadar faedah yang stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CIMB catat peningkatan 14% dalam keuntungan bersih 1H24 kepada RM3.9 bilion, isytihar dividen 27 sen

 

Terdahulu, hasil CIMB  meningkat 5.03% kepada RM5.6 bilion berbanding RM5.3 bilion tahun lepas.

 

Pada separuh pertama hingga 30 Jun (1H24), bank itu mencatatkan keuntungan bersih RM3.9 bilion, meningkat 14% daripada RM3.4 bilion manakala hasil meningkat 8.7% kepada RM11.2 bilion berbanding RM10.3 bilion yang dicatatkan setahun lalu.

 

Pertumbuhan pinjaman meneruskan momentumnya, meningkat 4.2% daripada semua pasaran dan segmen, manakala deposit meningkat sebanyak 2.7%.

 

RHB Investment berkata, tumpuan kukuh kumpulan terhadap pertumbuhan yang menguntungkan dan penggunaan modal yang bijak membolehkannya menawarkan dividen khas sebanyak 7 sen sesaham, menunjukkan kedudukan kewangan bank yang kukuh.

 

"Kumpulan itu dilihat di landasan yang betul untuk mencapai matlamat pulangan atas ekuiti (ROE) antara 11% hingga 11.5% untuk tahun tersebut, harga sahamnya yang kukuh tahun ini mungkin mengehadkan sebarang keuntungan selanjutnya," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak turun penarafan kepada 'neutral' daripada 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM8.90 sesaham. - DagangNews.com