KUALA LUMPUR 21 Julai - Kumpulan CIMB menerima pengiktirafan melalui tiga kemenangan kumpulannya bagi ketegori Best Malaysian Organisation, Outstanding Practice for Talent Development Initiative dan CEO Champion.
Ketua Pegawai Kakitangan Kumpulan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin berkata, anugerah tersebut adalah hasil usaha berterusan kumpulan CIMB untuk menawarkan modal insan terbaik sejajar dengan nilai teras kumpulannya.
"CIMB berbangga menerima pengiktirafan ini yang mencerminkan kesungguhan polisi sumber manusia kumpulan ini untuk mewujudkan ekosistem jantina seimbang dalam kalangan pekerja.
"Kami percaya dengan campuran pekerja pelbagai jantina mampu meningkatkan prestasi dalam membuat keputusan di samping mengukuhkan kepimpinan organisasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain mengamalkan polisi kepelbagaian jantina, CIMB juga tekad menggalakkan pekerjanya untuk bergerak seiring ekonomi digital dan teknologi menerusi program-program yang berkaitan.
Anugerah Outstanding Practice for Best Talent Development Initiative merupakan pengiktirafan terbaik susulan inisiatif yang diambil kumpulan itu menerusi pendekatan Pusat Bekerja Masa Hadapan (FOWC).
Pendekatan itu menyediakan kakitangan CIMB dari segi pembangunan kemahiran dan daya fikir mereka seiring dengan perkembangan kerjaya dalam era teknologi digital dan persekitaran yang serba tangkas.
Dalam pada itu, CIMB turut memperuntukkan sebanyak RM75 juta bagi persediaan kakitangannya dalam persekitaran teknologi digital termasuk analisis data, robot dan artificial intelligence (AI).
CIMB pada tahun lalu telah mengumumkan Forward23 yang menyaksikan pelaburan kumpulan itu berjumlah RM2 bilion dalam pembangunan teknologi dan data.
"Pengiktirafan ini adalah bukti bahawa semua kakitangan boleh berkerjasama. Inisiatif dan anjuran program hanya boleh diadakan sekiranya syarikat dan pihak sumber manusia berganding bahu sekali gus mewujudkan polisi yang lebih baik," katanya.
Anugerah LIFE AT WORK dianjurkan setiap tahun oleh Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).- DagangNews.com