CIMB lancar Akademi Nazir Razak dan Rangkaian Alumni CIMB | DagangNews Skip to main content

CIMB lancar Akademi Nazir Razak dan Rangkaian Alumni CIMB

 

 

KUALA LUMPUR, 19 Okt. – Kumpulan CIMB hari ini meraikan dua berita gembira – pelancaran Rangkaian Alumni CIMB dan Akademi Nazir Razak yang dinamakan bersempena nama bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Kumpulan CIMB iaitu figura penting dalam perkembangan industri kewangan di rantau ini.

Menurut Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, sumbangan Datuk Seri nazir Razak dalam menerajui industri perbankan dan kewangan negara selama 29 tahun sehingga membawa nama CIMB ke persada antarabangsa sewajarnya dihargai.

“Akademi latihan ini adalah satu bentuk penghargaan kepada seorang pemimpin yang memberi penekanana kepada pembangunan kepimpinan dan inovasi kerana Datuk Seri Nazir aktif dalam memberi sumbangan semula kepada pembangunan masyarakat serta penubuhan Yayasan CIMB yang kini berusia 13 tahun,” kata Datuk Mohd Nasir.

Bagi Datuk Seri Nazir pula, CIMB merupakan nadi kepada kerjaya yang disandangnya selama hampir tiga dekad beliau berkhidmat.

“Saya amat bertuah dapat berkenalan dengan ribuan kakitangan CIMB dan berkongsi perjalanan kehidupan korporat yang bermula sebagai sebuah bank perdagangan kecil di Malaysia sehingga menjadi sebuah institusi kewangan terkemuka dan berpengaruh di ASEAN.

Bertempat di Bangi, Selangor, Akademi Nazir Razak akan menawarkan pelbagai kursus berasaskan kemahiran teknikal dan bukan teknikal.

Komited terhadap pembangunan dan pembelajaran berterusan di tempat kerja, Akademi Nazir Razak juga akan mengkhusus dalam kemahiran 3D seperti  Data, Digital dan Rekaan bagi memperkasakan kemahiran tenaga kerjanya menerusi program Akademi 3D.

Sementara itu, Rangkaian Alumni CIMB pula berfungsi sebagai sebuah platform bagi mengeratkan silaturahim sesama bekas-bekas kakitangan CIMB.

“Alumni ini akan memberi peluang kepada bekas tenaga kerja CIMB untuk berhubung, berkongsi pandangan serta menyokong bakat demi meneruskan legasi jenama CIMB.

Antara figura terkemuka negara yang pernah berkhidmat di CIMB termasuk Tan Sri Md Nor Yusof, Tan Sri Munir Majid dan Menteri Kewangan sekarang, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz.

Sementara itu, CEO Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, penubuhan Rangkaian Alumni CIMB amat digalakkan kerana sejarah merupakan tali penghubung untuk mengeratkan silaturahim sesama insan sekali gus meneruskan legasi yang membentuk penubuhan CIMB.

“Saya yakin Rangkaian Alumni CIMB ini bukan sahaja memanfaatkan bekas kakitangan CIMB tetapi juga tenaga kerja CIMB sekarang  untuk saling berkongsi pengalaman dan pemikiran pemimpin-pemimpin CIMB sebelum ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai cara memohon bagi menjadi ahli alumni, sila layari https://careers.cimb.com/alumni. – DagangNews.com