CIMB umum pemenang CIMB ESG-SME Pitch Challenge | DagangNews Skip to main content

CIMB umum pemenang CIMB ESG-SME Pitch Challenge

KUALA LUMPUR 8 Nov - CIMB Group Holdings Berhad mengumumkan tiga pemenang CIMB ESG-SME Pitch Challenge yang pertama kali diadakan, bertujuan menekankan komitmen kumpulan dalam menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berfokuskan kemampanan.

 

Pitch Challenge itu berjaya menarik lebih daripada 50 PKS di seluruh ASEAN, khusus dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina. 

 

Ia  merupakan sebahagian daripada Sidang Kemuncak The Cooler Earth Sustainability 2022 yang menjadi keutamaan CIMB Group yang diadakan pada September. 

 

Ia dianjurkan dengan kerjasama pitchIN, Private Financing Advisory Network (PFAN) dan PricewaterhouseCoopers Malaysia (PwC).

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata CIMB ESG-SME Pitch Challenge telah diterima baik sebagai platform untuk memperkasakan PKS yang berfokuskan kemampanan dari seluruh ASEAN.

 

“Selain menjana peningkatan keterlihatan dan minat yang lebih besar dalam kalangan pelabur, kami berharap PKS juga dapat mendapat manfaat melalui pandangan dan bimbingan daripada panel hakim dan pakar kami dalam melaksanakan proses tersebut.

 

cimb
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff (tiga dari kiri, barisan atas) bersama Pengerusi Malaysia Venture Capital Management Berhad, Tunku Alizakri Alias (dua dari kiri, barisan atas) bersama dan rakan kongsi ketika mengumumkan pemenang Cabaran Pitch CIMB ESG-SME, baru-baru ini.

 

“Kami berharap untuk terus memangkin pertumbuhan dalam kalangan PKS ini dan mewujudkan peluang untuk mereka selaras dengan cita-cita kami menjadi peneraju kemampanan ASEAN menjelang 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pemenang iaitu iHandal Energy Solutions, BoomGrow dan Yindii masing-masing menerima hadiah wang tunai RM30,000, RM20,000 dan RM10,000 selepas melalui bengkel persediaan dan pembentangan idea secara maya kepada panel hakim.

 

Dengan komitmen RM100 juta, CIMB menawarkan pembiayaan melalui kemudahan peralihan rendah karbon (LCTF) sebagai sebahagian daripada skim pembiayaan LCTF yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia  untuk menggalakkan dan memperkasakan perniagaan menerima pakai amalan rendah karbon dan mampan bagi daya tahan perniagaan.

 

Melalui LCTF CIMB, perniagaan termasuk PKS akan mendapat manfaat daripada pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM10 juta dengan tempoh bayaran balik mampu milik sehingga 10 tahun pada kadar faedah rendah sehingga 5% setahun. - DagangNews.com