Contohi pembangunan akar umbi bola sepak Vietnam - PM | DagangNews Skip to main content

Contohi pembangunan akar umbi bola sepak Vietnam - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan majlis pecah tanah Ibu Pejabat FAM baharu di Presint 5, Putrajaya hari ini. - Gambar - Nasirruddin Yazid/FAM.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - Malaysia wajar menjadikan Vietnam sebagai contoh dalam pembangunan akar umbi dalam melahirkan pemain bola sepak berkualiti pada masa hadapan untuk bersama skuad Harimau Malaya.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembangunan pemain tidak hanya terhad kepada kemudahan infrastruktur yang canggih dan moden semata-mata sebaliknya memerlukan perancangan rapi selain bimbingan daripada jurulatih terbaik pada usia muda.

 

Beliau berkata, seorang jurulatih pula perlu mendapat tunjuk ajar daripada instruktur atau jurulatih pakar dan proses itu merupakan fomula kejayaan bagi setiap pasukan utama.

 

Sebagai contoh, Perdana Menteri berkata, pasukan Vietnam pada 2006 menduduki ranking ke-172 dunia dan kini menjadi satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia dan apa yang membezakan mereka dan Malaysia adalah pembangunan bola sepak peringkat awal.

 

"Kunci kepada peningkatan prestasi pasukan Vietnam ialah Akademi Hoang Anh Gia Lai yang menjalinkan kerjasama dengan pasukan Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan sokongan konglomerat Vietnam.

 

"Jika kita memperhebatkan program pembangunan seperti akademi yang bermula daripada daerah dan seterusnya negeri, kita juga akan dapat melahirkan pemain-pemain yang bagus dan berbakat besar," katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat baharu Persatuan Bolasepak Malaysia di Presint 5, Putrajaya, hari ini.
 

 

pm
Perdana Menteri menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Presint 5, Putrajaya sambil disaksikan Presiden FAM, Datuk Hamidim Mohd. Amin - Gambar - Nasirruddin Yazid /FAM

 

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

 

Pembinaan Ibu Pejabat baharu FAM itu akan bemula tahun ini dengan ibu pejabat mereka mereka ketika ini berada di Wisma FAM, Kelana Jaya yang mula beroperasi sejak lewat 1980.

 

Pembangunan diatas tapak seluar enam ekar itu akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai kemudahan yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan.

 

pm
Perdana Menteri menerima cenderamata khas daripada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Presint 5, Putrajaya. - Gambar- Nasirruddin Yazid/ FAM.

 

Ismail Sabri berkata, dengan kemahiran teknikal yang dimiliki hasil daripada bimbingan jurulatih yang hebat akan meningkatkan kebolehpasaran pemain bukan sahaja di liga tempatan malah ke peringkat antarabangsa.

 

Beliau memberikan contoh pasukan Chelsea atau The Blues yang berpangkalan di Stamford Bridge, England, yang disifatkan memiliki ekosistem pasukan Liga Perdana Inggeris yang cukup lengkap dengan akademi mereka mengendalikan pemain seawal usia 9 hingga 23 tahun yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa. 

 

"Selain meningkatkan kemampuan teknikal, kelab itu juga membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain yang menyarung jersi biru itu. Ini yang patut dicontohi oleh kelab-kelab bola sepak di negara ini," katanya.

 

pm
Perdana Menteri menerima cenderamata khas daripada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Presint 5, Putrajaya. - Gambar- Nasirruddin Yazid/ FAM.

 

Perdana Menteri berkata, soal pembangunan bola sepak negara tidak seharusnya dipikul oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semata-mata sebaliknya perlu menjadi agenda nasional dengan kerjasama kementerian berkaitan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.

 

pm
Perdana Menteri menyaksikan model bangunan Ibu Pejabat FAM baharu yang akan dibangunkan di Presint 5, Putrajaya.

 

"Saya berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal, pengurusan, kepengadilan dan kejurulatihan. 

 

"Sejajar dengan pembangunan ini, saya sebagai penyokong Harimau Malaya mewakili seluruh Keluarga Malaysia, amat mengharapkan FAM akan menitikberatkan kecemerlangan serta persediaan yang lebih baik dan rapi sebelum perlawanan agar kita tidak mudah kecundang," katanya.

 

Selain itu Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik dalam membantu perkembangan mutu bola sepak tanah air termasuk dalam usaha meralisasikan Peta Hala Tuju atau F:30 yang ingin menjadikan Malaysia sebagai antara lima pasukan terbaik di Asia.

 

Beliau berkata, sasaran itumampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun ini dari semasa ke semasa dan tidak lari daripada objektif asal mereka. - DagangNews.com