KUALA LUMPUR 26 Ogos - TA Research menjangkakan Coraza Integrated Technology Berhad meneruskan trajektori pertumbuhannya pada FY22 didorong oleh pasaran pengguna akhir termasuk perkembangan sektor semikonduktor dan instrumentasi.
Firma itu melihat permintaan yang kukuh untuk bahagian fabrikasinya yang ditetapkan buat industri semikonduktor selain pelaburan dalam usaha mengembangkan kapasiti pengeluarannya.
"Oraginasi Semiconductor Equipment & Materials International (SEMI) meramalkan jualan peralatan pembuatan semikonduktor global pada 2022 meningkat 14.7% dari tahun ke tahaun ke paras tertinggi baharu sebanyak AS$117.5 bilion (RM525.64 bilion)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu merekodkan untung bersih teras 1HFY22 sebanyak RM7.2 juta pertambahan 46.5% dari tahun ke tahun dan ia mencapai sasaran firma itu dan pendapatan konsensus setahun penuh sebanyak 47.7% dan 44.5% masing-masing.
Ia didorong oleh fabrikasi logam kepingan dan segmen pemesinan ketepatan.
Mengikut pasaran pengguna akhir, sumbangan hasil diterajui oleh semikonduktor pada 60% dan diikuti oleh instrumentasi pada 21% dan peranti perubatan pada 15%.
Margin keuntungan bersih teras susut kepada 10.4% terutamanya disebabkan oleh kos bahan yang lebih tinggi akibat tekanan inflasi.
Bagaimanapun, untung bersih teras susut 3.5% dari suku ke suku kepada RM3.5 juta disebabkan peningkatan kos tenaga kerja untuk kemudahan baharu yang disewa di Kulim, Kedah serta kesan kenaikan gaji minimum mulai Mei 2022.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 98 sen.
"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk kebergantungan kepada pelanggan utama, harga bahan mentah yang tidak stabil dan kesan COVID-19 selain ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan," katanya. - DagangNews.com