COVID-19 : Purata pendapatan isi rumah merosot, ramai jatuh miskin | DagangNews Skip to main content

COVID-19 : Purata pendapatan isi rumah merosot, ramai jatuh miskin

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Purata pendapatan isi rumah pada 2020 merosot 10.3% kepada RM7,089 berbanding RM7,901 tahun sebelumnya akibat pandemik COVID-19, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan ini disebabkan oleh isi rumah atau individu yang kehilangan atau pengurangan pendapatan terutama mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain. 

 

Jelasnya, pengurangan ini bukan sahaja akibat daripada kehilangan pekerjaan malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran.

 

"Tahun lalu, pendapatan bergaji dan bekerja sendiri yang merupakan punca utama pendapatan isi rumah masing-masing menyusut 16.1% dan 9.7%," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 yang memaparkan dapatan kajian kesan COVID-19 ke atas pendapatan isi rumah di Malaysia tahun lalu.

 

Laporan itu menunjukkan 4 punca pendapatan iaitu pekerjaan bergaji, bekerja sendiri, harta dan pelaburan serta pindahan semasa diterima.

 

Mohd.Uzir selanjutnya berkata, pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah menurun 11.3% berbanding 2019 dengan nilai pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah pada 2020 ialah RM5,209.

 

Katanya, semua negeri mencatatkan penurunan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah.

 

"Putrajaya merekodkan penurunan pendapatan isi rumah bulanan paling rendah dan kekal merekodkan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dan penengah paling tinggi berbanding negeri lain masing-masing sebanyak RM12,322 dan RM9,743. 

 

"Kelantan masih merekodkan pendapatan purata dan penengah paling rendah masing-masing sebanyak RM4,411 dan RM3,010," jelasnya dalam laporan itu.

 

Dari segi taburan isi rumah pula, laporan itu menunjukkan pada 2020, bilangan isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 telah bertambah sebanyak 12.5%. 

 

Sementara itu, ujar Mohd. Uzir sebanyak 20% daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 telah beralih kepada kumpulan B40. 

 

Isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 turut terkesan akibat pandemik COVID-19 yang mana sebanyak 12.8% isi rumah daripada kumpulan ini telah beralih kepada kumpulan M40. 

 

"Memandangkan peratus penurunan pendapatan bagi B40 dan M40 adalah lebih besar berbanding T20, maka agihan pendapatan bagi B40 dan M40 masing-masing menurun kepada 15.9% (2019: 16%) dan 36.9% (2019: 37.2%). 

 

"Kumpulan T20 yang memiliki 47.2% pendapatan, meningkat sebanyak 0.4 mata peratus berbanding 2019," katanya. 

 

Berdasarkan kajian ini juga, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639,800 isi rumah pada 2020 berbanding 405,400 tahun sebelum itu. 

 

Menurut Mohd. Uzir, kemiskinan mutlak turut meningkat daripada 5.6% pada 2019 kepada 8.4% manakala kemiskinan tegar pula dianggarkan meningkat daripada 0.4% (2019) kepada 1% melibatkan 78,000 isi rumah berbanding 2019, 27,200.

 

"Ia juga mendapati, Sabah mencatat peratusan tertinggi bagi kemiskinan mutlak iaitu 25.3% berbanding 19.5% pada 2019. 

 

"Kelantan pula mencatatkan peningkatan kemiskinan yang ketara sebanyak 8.8 mata peratus iaitu kepada 21.2% daripada 12.4% (2019), diikuti Terengganu dengan peningkatan 5.9 mata peratus kepada 12% daripada 6.1% tahun sebelumnya," katanya. 

 

Beliau berkata, penularan pandemik COVID-19 telah memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dan mengubah struktur kumpulan isi rumah. 

 

Katanya, ekonomi dijangka bertambah baik dan pulih apabila penularan pandemik ini dapat diatasi.

 

"Daripada analisis ini, didapati peranan kerajaan persekutuan dan negeri serta pelbagai pihak adalah amat penting dalam mengurangkan kesan pandemik ke arah memulihkan pendapatan isi rumah dan ekonomi negara," jelas beliau. - DagangNews.com