COVID-19 ubah sentimen pembelian rumah | DagangNews Skip to main content

COVID-19 ubah sentimen pembelian rumah

sentimen pembelian rumah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Landskap dan sentimen orang ramai dalam membuat pembelian rumah di negara ini mula berubah sejak berlakunya penularan wabak COVID-19.

Perkara tersebut dibuktikan melalui tinjauan yang dijalankan oleh CGS-CIMB Research untuk mengetahui dan memahami perubahan sentimen pembelian rumah setelah berlakunya wabak yang belum pernah melanda sebelum ini.

Tinjauan itu dilakukan pada 30 September hingga 9 Oktober 2020 melibatkan 1,037 pelabur runcit sebagai responden.

 

 

Berikut merupakan hasil dan dapatan tinjauan yang dibahagikan mengikut pecahan sebelum dan selepas penularan wabak COVID-19;

 

1) Sentimen pembeli sebelum wabak

  • 44% daripada keseluruhan responden menunjukkan minat dan mempunyai perancangan untuk membeli rumah pada tahun 2020.
  • Kesemua mereka adalah daripada golongan yang berumur 30 hingga 39 tahun, pendapatan bulanan kasar sekitar RM5,000 hingga RM9,900 dan pembeli rumah pertama.

 

Sentimen pembelian rumah
 

2) Sentimen pembeli selepas berlakunya wabak

  • Daripada jumlah responden yang merancang untuk membeli rumah pada 2020, hanya 35.5% daripada jumlah itu yang masih mengekalkan perancangan untuk membuat pembelian.
  • Menurut CGS-CIMB Research, mereka yang memilih untuk mengekalkan perancangan pembelian itu kebanyakannya adalah daripada golongan yang ingin membuat pembelian rumah pertama.
  • Penurunan peratusan itu didorong oleh penularan wabak serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan oleh kerajaan.
  • Sementara itu, 32.7% daripada jumlah responden yang membuat perancangan untuk membeli rumah pada 2020 bertindak menangguhkan hasrat itu ke tahun 2021.
  • Manakala 31.8% khususnya dalam kalangan pelabur hartanah telah merubah fikiran untuk membeli rumah.

 

sentimen pembelian rumah

 

Secara keseluruhannya, CGS-CIMB Research memberitahu, 41% responden masih mengekalkan minat mereka dalam membuat pelaburan hartanah, 39% telah merubah perancangan dan minat, manakala 20% responden menunjukkan peningkatan minat untuk membuat pembelian.

Berdasarkan kepada profil pembeli juga, minat untuk membeli rumah terjejas dan menurun dalam majoriti pemaju hartanah, namun perkara itu tidak berubah untuk pembeli rumah pertama di samping peningkatan untuk pelabur hartanah.

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research juga menyatakan nilai harga rumah sebenarnya berada pada tahap tidak terjangkau dan tinggi.

Menurutnya, majoriti rumah dijual dengan harga anggaran RM250,000 hingga RM499,999.

Penemuan itu juga sejajar dengan laporan Kestabilan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyatakan nilai harga rumah di Malaysia adalah tinggi berbanding anggaran harga pada 2019.

"Kami percaya bahawa rumah yang ditawarkan pada harga lebih rendah akan lebih mendapat permintaan, dan kami melihat bahawa kebanyakan pemaju melancarkan unit rumah pada harga lebih berpatutan untuk memikat pembeli," ujar CGS-CIMB Research.

 

sentimen pembelian rumah

 

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah rumah overhang (dibina tidak dijual, tidak terjual dalam pembinaan, tidak dibina dan tidak dijual) meningkat pada 2019.

Pada separuh pertama 2020, jumlah rumah yang belum dijual meningkat 10.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Prestasi merosot itu didorong oleh penularan COVID-19 dan gangguan perjalanan akibat PKP.

Jumlah nilai kediaman yang belum terjual pada separuh pertama 2020 berjumlah RM47 bilion melibatkan 63,063 unit.

Jumlah itu meningkat sebanyak 13% berbanding hanya RM20 bilion pada separuh kedua 2019.

 

Berikut pula adalah cadangan CGS-CIMB Research kapada pihak pemaju untuk menyesuaikan rumah yang ditawarkan dengan pilihan pembeli;

  • Jumlah bank tanah di kawasan Lembah Klang
  • Bank tanah yang lebih besar untuk pembinaan rumah atau unit satu aras (landed).
  • Kediaman pada harga lebih berpatutan sekitar RM500,000 yang berpotensi untuk menarik minat pembeli.

 

Secara keseluruhannya, CGS-CIMB Research mengambil keputusan untuk mengekalkan saranan 'neutral' saham sektor hartanah berdasarkan kepada prospek makro yang lemah, isu harga dan kemungkinan penjualan rumah yang lebih rendah. - DagangNews.com