KUALA LUMPUR 11 Jun - Firma ekuiti persendirian, Creador Sdn Bhd akan menguasai 30% kepentingan dalam Loob Holding Sdn Bhd, iaitu syarikat yang memiliki jenama teh mutiara Tealive.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Creador, Brahmal Vasudevan berkata, firma itu memilih Loob untuk menjadi pelaburan pertamanya dalam sektor makanan dan minuman kerana Tealive berkembang menjadi peneraju serantau dengan lebih 650 cawangan yang dicapainya dalam tempoh kurang daripada lima tahun.
"Perolehan Loob yang mengagumkan iaitu RM307 juta dan pendapatan bersih RM58 juta untuk tahun kewangan 2020, menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) selama tiga tahun sebanyak 56% untuk perolehan dan 180% bagi pendapatan bersih," katanya dalam kenyataan di sini.
Brahmal berkata, pelaburan melalui Uttama Limited, firma gabungan Creador IV LP itu akan membolehkan Creador untuk turut serta dalam pertumbuhan Tealive yang pada masa ini telah bertapak di lapan negara.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo, berkata kerjasama strategik itu muncul pada waktu yang tepat sejajar dengan rancangan Tealive untuk mencapai pembukaan cawangan yang ke-1000 di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Kami meraikan pembukaan cawangan ke-600 di Malaysia bulan lalu dan merancang untuk membuka 100 hingga 150 cawangan setiap tahun," katanya. - DagangNews.com