KUALA LUMPUR 13 Sept - Crescendo Corp Berhad (CCB) membeli dua bidang tanah kosong pegangan bebas di Johor Bahru dengan tunai RM72 juta bagi memanfaatkan potensi pembangunan yang positif di kawasan itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya Crescendo Landmark Sdn. Bhd. telah memeterai perjanjian jual beli dengan Bewell Realty Sdn. Bhd. untuk pengambilalihan itu.
Jumlah keluasan tanah kasar adalah lebih kurang 1.32 hektar dan terletak di pusat bandar Johor Bahru, berhampiran terminal Sistem Transit Rapid Singapura (RTS) Johor Bahru di Bukit Chagar.
Lot tanah pertama berkeluasan kira-kira 1.16 hektar, menelan kos RM71.5 juta, manakala plot kedua meliputi kawasan seluas lebih kurang 0.16 hektar berharga RM500,000.
“Plot 1 telah diluluskan untuk pembangunan 1,090 unit pangsapuri servis dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM726 juta.
"Anggaran kos pembangunan (termasuk kos tanah) adalah kira-kira RM535 juta yang akan dibiayai oleh dana jana dalaman serta pinjaman bank," katanya.
CCB berkata, pembangunan itu dijangka bermula pada suku pertama 2024 dan dianggarkan siap dalam tempoh tiga tahun.
"Pengambilalihan itu akan meningkatkan simpanan tanah CCB untuk pembangunan hartanah dan akan menyumbang secara positif ke arah pertumbuhan jangka panjang CCB dari segi aliran tunai dan keuntungan," katanya. - DagangNews.com