Cukai, subsidi bersasar kurangkan perbelanjaan pengguna, pusat beli-belah bakal terjejas - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Cukai, subsidi bersasar kurangkan perbelanjaan pengguna, pusat beli-belah bakal terjejas - Kenanga Research

Prestasi REIT runcit termasuk pusat beli-belah bergantung kepada perbelanjaan pengguna kata Kenanga Research. Gambar NAIM AZIZ Dagang News 2024
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 April - Segmen runcit sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) yang melibatkan pusat beli-belah boleh terjejas akibat perbelanjaan pengguna yang lemah susulan kesan inflasi dan beberapa lagi dasar baharu kerajaan.

 

Kenanga Research berkata, sehubungan itu, pihaknya berhati-hati terhadap prospek jangka sederhana REIT mengambil kira pengenalan cukai barang bernilai tinggi (HGVT), peningkatan cukai perkhidmatan kepada 8% dan pelaksanaan subsidi bersasar yang berpotensi menjejaskan perbelanjaan pengguna.

 

"KLCCP Stapled Group jadi pilihan utama sektor kerana daya tarikannya yang lebih kukuh kepada pembeli asing dan kelebihan mempunyai kumpulan pelanggan berpendapatan tinggi yang mungkin hanya terjejas secara minimum oleh kenaikan cukai yang dicadangkan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Turut jadi pilihan ialah Sunway REIT kerana tidak menerima impak daripada pembukaan Exchange TRX memandangkan jarak yang jauh selain menjadi pemilik tanah kepada banyak bangunan pejabat Gred A di lokasi utama.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Subsidi bersasar tetap dilaksana kerajaan pada 2024, pemotongan secara berperingkat - Rafizi

 

Kenanga Research dalam pada itu mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap REIT yang dijangka kekal stabil sepanjang 2024 dengan andaian kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara kekal pada 3%.

 

Bagaimanapun kata firma penyelidikan itu, pihaknya lebih memilih REIT dalam segmen runcit dengan pusat beli-belah di lokasi strategik, mengambil kira lebihan bekalan dalam segmen pejabat.

 

 

 

 

"Kami mengambil berat tentang persaingan untuk jumlah pengunjung akibat pembukaan pusat beli-belah berprofil tinggi yang besar dalam pasaran yang sudah sangat tepu.

 

"Dua pusat beli-belah baharu di pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan ruang runcit kolektif seluas 1.5 juta kaki persegi dijadualkan dibuka tahun ini, iaitu 118 Mall dan Pavilion Damansara Heights (Fasa 2).

 

"Ini menyusuli Exchange TRX dan Pavilion Damansara Heights (Fasa 1) pada 2H23. Terletak di tengah-tengah bandar dan menempatkan lebih 500 kedai, kami percaya The Exchange TRX berotensi beri kesan kepada pasaran runcit.

 

"Pasaran yang sesak sebahagiannya boleh diredakan oleh jumlah pelancong yang lebih tinggi susulan kelonggaran visa (China dan India), ditambah pula penyusutan nilai Ringgit Malaysia (RM).

 

"Perkembangan ini bakal memandaatkan segmen runcit," katanya.

 

Mengenai REIT pejabat, firma penyelidikan itu berkata, walaupun bekalan kian meningkat, bangunan Gred A di lokasi berpusat dengan ketersambungan yang kukuh dan pensijilan hijau dijangka kekal berdaya tahan dengan permintaan semakin meningkat. 

 

Selain itu, terdapat permintaan untuk ruang pejabat daripada sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi, kewangan dan perkhidmatan profesional.- DagangNews.com