Cuti sekolah: Destinasi pelancongan menarik di Terengganu jadi pilihan keluarga | DagangNews Skip to main content

Cuti sekolah: Destinasi pelancongan menarik di Terengganu jadi pilihan keluarga

Pulau Redang, Terengganu menjadi tumpuan ramai pelancong yang sukakan percutian pulau dan laut.
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 28 Ogos - Cuti persekolahan yang bermula sejak Sabtu lalu menyebabkan destinasi pelancongan popular terutama pulau-pulau peranginan di Terengganu mula diserbu oleh rakyat Malaysia.

 

Tinjauan DagangNews.com di jeti Merang untuk masuk ke Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan Pulau Bidong mulai sesak bermula Jumaat lalu dengan tumpuan pelancong dari Kelantan, Johor dan Terengganu.

 

Selain itu, jeti Marang yang menghubungkan pelancong ke Pulau Kapas serta jeti Kuala Besut untuk ke Pulau Perhentian dipenuhi ramai pengunjung untuk memanfaatkan cuti persekolahan yang akan tamat pada Isnin depan (4 September).


 

Terengganu
Keindahan Pulau Perhentian, Terengganu

 


Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, bilik penginapan kebanyakan resort dan chalet habis ditempah pelancong sejak Jumaat hingga Ahad depan.  

 

"Alhamdulillah, ini sangat melegakan pengusaha resort kerana dapat menampung kos pengurusan ketika kekurangan tempahan pada hari-hari lain sebelum ini.

 

"Tidak lama lagi, pulau peranginan akan ditutup kerana tengkujuh, jadi kedatangan pelancong yang ramai pada musim cuti kali ini sangat bermakna untuk kelangsungan perniagaan mereka sepanjang tempoh penutupan nanti," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.


 

redang
Penggemar pulau dan laut akan terdorong ke Pulau Redang

 


Bagi pemilik Delima Redang Resort, Khairul Azizi Mohamad pula, kemeriahan cuti persekolahan kali ini pula mula dirasai sejak awal bulan dengan pelbagai pertanyaan pakej penginapan yang diterima melalui media sosial dan WhatsApp talian telefon resort miliknya itu.

 

"Ramai yang mengambil pakej penuh termasuk bot laju pergi dan balik ke jeti, hidangan tiga kali sehari, pakej snorkeling dan makan angin ke pulau-pulau berhampiran.

 

"Kami juga menyediakan beberapa pakej khas seperti seminar, bengkel, sambutan hari keluarga dan majlis sambutan ulang tahun mengikut kehendak pelanggan dengan bajet yang bersesuaian.

 

"Keutamaan kami adalah memastikan pelancong seronok dan menikmati percutian yang selesa serta kembali ke jeti dengan selamat," katanya yang menyediakan 40 bilik penginapan iaitu 14 unit twin, tiga unit triple dan 23 unit Quad di resort tersebut.

 

Antara tarikan utama pelancong ke Pulau Redang ialah melihat sendiri hidupan marin dan terumbu karang melalui aktiviti snorkeling dan menyelam serta merakam gambar dan video di lokasi menarik seperti Mini Maldives serta melihat rutin harian penduduk tempatan di Kampung Baru Pulau Redang.


 

Terengganu
Pulau Kapas menjadi pilihan ibu bapa yang mempunyai anak kecil kerana lokasinya dekat dengan daratan berbanding pulau yang lain.


 
Sementara itu, pemilik Ombak Kapas Island Beach Resort pula berkata ramai pelancong yang mempunyai anak masih kecil suka datang ke pulau itu kerana lokasinya lebih dekat dengan daratan.

 

"Perjalanan menaiki bot pun hanya sekitar 15 hingga 20 minit sahaja, sangat sesuai untuk mereka yang kali pertama mahu bercuti ke pulau atau ibu bapa yang membawa bayi dan anak berusia bawah 10 tahun.

 

"Di sini pun banyak ikan-ikan yang jinak boleh didekati dengan mudah tanpa perlu pergi ke lokasi snorkeling yang lain dan sangat sesuai untuk seisi keluarga," katanya. - DagangNews.com