KUALA TERENGGANU 10 Julai - Loji tenaga solar hibrid berskala besar 3 (LSS3) 100-MWac Cypark Resources Berhad di Merchang di sini akan menjadi satu lagi mercu tanda kejayaan syarikat Bumiputera dalam penghasilan sumber tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Pengerusi Eksekutif Cypark Resources Berhad, Datuk Hamidah Moris berkata, projek itu adalah loji janakuasa solar hibrid terbesar di Malaysia yang terdiri daripada 35 Megawatt (MW) solar terapung dan 65 MW solar dipasang di darat.
Menurutnya, loji janakuasa solar hibrid itu juga adalah bukti kemampuan Cypark untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran semula jadi Terengganu yang terdedah kepada banjir.
"Cyparks komited untuk terus memainkan peranan utama dalam menyokong grid tenaga negara dengan tenaga bersih dan lestari.
"Kuasa elektrik yang dijana dari Merchang ini mampu membekalkan tenaga kepada lebih 50,000 isi rumah setahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian loji janakuasa solar hibrid yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, dua sesi pertukaran dokumen telah diadakan.
Sesi pertama melibatkan pertukaran dokumen antara TNB Power Generation Sdn Bhd dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd berhubung kajian kebolehlaksanaan untuk membangunkan Solar Fotovoltaik Terapung (FSPV) di sekitar Stesen Janakuasa Hidroelektrik dan Empangan TNB Kenyir.
Sesi kedua pula melibatkan pertukaran dokumen antara Cypark Resources Berhad, Terengganu Incorporated Sdn Bhd, dan Jakel Capital Sdn Bhd dengan matlamat bersama untuk turut serta dan meneroka peluang dalam pembangunan Loji Tenaga Solar Fotovoltaik Terapung di Tasik Kenyir, Terengganu.
Beliau berkata, loji janakuasa solar hibrid 100MW LSS3 itu akan membantu mempercepatkan peralihan negara ke arah tenaga hijau, menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
"Kewujudan loji janakuasa solar hibrid ini berjaya menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia komited dalam meneroka dan mengimplementasi teknologi hijau yang inovatif," katanya.
Cypark adalah syarikat tempatan yang telah mempelopori industri solar Malaysia dengan 24MW loji tenaga solar generasi pertama bermula pada tahun 2012 di bekas tapak pelupusan sampah.
Ketika ini, Cypark juga banyak bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bank-bank Malaysia untuk merancang infrastruktur tenaga dan pembiayaan yang sesuai untuk mengurus sumber tenaga boleh baharu yang dijana daripada tenaga matahari.
Tambahnya, Cypark juga mempelopori industri Waste-to-Energy (WTE) pada tahun 2015 dengan merancang, melaksanakan, dan menjalankan pengumpulan sisa dengan bayaran tip, penjanaan tenaga daripada sisa untuk TNB. - DagangNews.com