DagangHalal.com, Tastefully dan TikTok bekerjasama anjur karnival makanan halal di IOI City Mall hujung minggu ini | DagangNews Skip to main content

DagangHalal.com, Tastefully dan TikTok bekerjasama anjur karnival makanan halal di IOI City Mall hujung minggu ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - DagangHalal.com bekerjasama dengan Tastefully dan TikTok bagi menganjurkan Karnival Makanan DagangHalal pertama yang berlangsung bermula 29 September hingga 1 Oktober 2023 di IOI City Mall.

 

Ekspo inovatif itu adalah sebagai pameran dagangan halal pelbagai saluran pertama di Malaysia dijangka menarik sekitar 80,000 pengunjung.

 

Ketua Pegawai Eksekutif DagangHalal.com, Sam Hwang Seak Wai berkata, visi utama mereka untuk karnival itu adalah bagi menaiktaraf industri makanan halal. 

 

"Melalui kerjasama strategik dengan TikTok Malaysia, ekspo ini memudahkan proses penyertaan untuk peniaga. 

 

"Kerjasama ini bertujuan mendorong perniagaan tempatan masuk ke era digital dengan mematuhi piawaian halal yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pedagang terkemuka dari TikTok akan hadir di karnival itu termasuk pempengaruh terkenal seperti Encik Bentong Hafiz Oon dan Bos Molly.

 

Acara ini juga membuka peluang kerjasama antarabangsa di dalam industri halal global yang bernilai AS$3.27 trilion.

 

Sam Hwang berkata, ekspo makanan itu adalah antara inisiatif yang dianjurkan oleh DagangHalal.com, selari dengan visi syarikat untuk memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Serdahana (PMKS) halal dan usahawan wanita dalam perdagangan global. 

 

"Kami sedang meluaskan jaringan kerjasama dengan pengedar dan peruncit di seluruh dunia, bagi memastikan pelanggan kami mempunyai akses yang lebih luas ke pasaran global.

 

"Melalui DagangHalal.com, banyak PMKS dan usahawan wanita telah mengembangkan perniagaan halal mereka ke tahap global, membuktikan dengan platform yang tepat, potensi adalah tiada batas," katanya.- DagangNews.com