KUALA LUMPUR 4 Okt. - Daibochi Bhd. mempunyai tempoh sehingga 25 Oktober ini sama ada menerima atau menolak tawaran pengambilalihan daripada Scientex Bhd.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Daibochi berkata, ia menerima dokumen tawaran berhubung pengambilalihan sukarela tanpa syarat itu.
Jelasnya, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. telah mengeluarkan notis kenyataan bagi pihak Scientex untuk memaklumkan dokumen tawaran itu secara terperinci, terma dan syarat tawaran beserta borang penerimaan telah dihantar kepada pemegang saham dan pemegang waran Daibochi pada 4 oktober.
"Di dalam notis itu, UOB Kay Hian menasihatkan supaya tawaran itu dibuka untuk penerimaan sehingga 5 petang waktu Malaysia pada 25 Oktober 2021, melainkan terdapat pengumuman lanjutan sekurang-kurangnya 2 hari sebelum ditutup," katanya.
Salinan dokumen tawaran dan borang penerimaan dan pemindahan juga boleh didapati di laman web Bursa Malaysia.
Pada 13 September lalu, Scientex bercadang untuk menjadikan anak syarikatnya, Daibochi sebagai syarikat persendirian dengan membuat tawaran untuk memperoleh semua baki saham dan waran yang tidak dimiliki oleh pengeluar bahan pembungkusan fleksibel itu pada harga RM345.3 juta secara tunai.
Cadangan pengambilalihan sukarela itu memerlukan tawaran untuk membeli 38.12% saham Daibochi yang diterbitkan tidak termasuk saham perbendaharaan dengan harga RM2.70 setiap satu dan 95.75% waran tertunggak masing-masing pada harga 32 sen.
Tawaran ini memberi Scientex fleksibiliti dan autonomi yang lebih besar untuk merasionalisasi kegiatan perniagaannya dan menyelaraskan operasi Daibochi serta kumpulan Scientex yang diperbesarkan untuk mencapai kecekapan operasi lebih baik untuk mengembangkan perniagaan pembungkusan fleksibel tersebut.
Walaupun tawaran itu tidak memerlukan kepada sebarang penerimaan minimum, ia tertakluk kepada pemberitahuan daripada Suruhanjaya Sekuriti bahawa ia tidak mempunyai komen lebih lanjut mengenai isi kandungan dokumen tawaran itu.
Ketika ini, syarikat tersebut memiliki 61.88% saham mengundi Daibochi dan pihaknya tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Daibochi.
Petang ini, ketika ditutup saham Daibochi susut 4 sen atau 1.45% kepada RM2.71 dengan 141,700 saham diniagakan. - DagangNews.com