ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Okt. - Desas-desus yang bertiup kencang sama ada akan berlaku 'darurat politik' ataupun tidak mengundang banyak persoalan terutama dalam situasi pandemik yang semakin meruncing ketika ini.
Berdasarkan laporan media, Mesyuarat Khas Kabinet yang berakhir petang tadi dikatakan mencadangkan pembubaran Dewan Rakyat dan darurat politik kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengelakkan konflik politik yang lebih teruk.
Keadaan ini pastinya menimbulkan banyak tanda tanya kepada rakyat yang masih keliru dengan situasi yang berlaku ketika ini, memandangkan negara tidak pernah berdepan situasi seperti hari ini - krisis kesihatan akibat pandemik COVID-19 dan juga ketidakstabilan politik yang sebenarnya tercetus serentak sejak Mac lalu.
Petang ini, Bursa Malaysia susut 4.16 mata kepada 1,494.64 mata manakala ringgit juga lemah berbanding dolar AS pada RM4.16 ketika ditutup ekoran wujudnya khabar angin berkenaan yang mencetuskan ketidaktentuan pasaran.
Pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Shamrahayu A. Aziz dalam hantaran di Facebooknya menjelaskan, terdapat tiga asas yang boleh digunakan Agong bagi membuat pengisytiharan darurat, iaitu ancaman ke atas keselamatan negara, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.
Beliau berkata, apabila pengisytiharan darurat telah dibuat oleh Agong, perlembagaan akan digantung dan pentadbiran negara adalah ditentukan oleh pihak eksekutif.
Katanya, tentera juga boleh mengambil alih teraju dalam hal berkaitan keselamatan sekiranya keadaan memerlukan, lebih-lebih lagi apabila darurat diisytiharakan kerana berlakunya ancaman kepada keselamatan negara.
"Agong boleh mengisytiharkan dan menguatkuasakan darurat ketika Majlis Parlimen masih ada, sama ada semasa berlaku persidangan atau tidak, atau ketika Parlimen telah dibubarkan. Parlimen juga masih boleh bersidang sekiranya tidak dibubarkan," katanya.
Persoalan sama ada Parlimen boleh membuat undang-undang semasa darurat atau tidak, Shamrahayu berkata, Parlimen boleh membuat Ordinan jika didapati oleh Parlimen dikehendaki bagi tujuan darurat dan prosedur perundangan boleh diketepikan.
"Undang-undang ini adalah sah walaupun ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Ordinan yang dimasyhurkan oleh Agong adalah berkuat kuasa dan berkesan (sehingga dibatalkan) seolah-olah ia adalah Akta Parlimen," jelasnya.
Sementara itu, Pengamal Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tiada istilah 'darurat politik' digunakan secara dasarnya jika mengikut Perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan).
"Cuma dalam konteks sekarang berlaku pertikaian dalam kalangan parti politik hingga membawa kepada gencatan politik. Jika tidak diselesaikan akan membawa masalah lebih besar kepada kerajaan," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Beliau berkata, negara telah melalui empat kali darurat dengan kali pertama sebelum negara mencapai kemerdekaan berikutan konfrontasi dengan Indonesia.
"Dari segi politik pula, ia berlaku pada 1966 di Sarawak dan 1977 di Kelantan bagi menyelesaikan kemelut politik.
"Yang terakhir adalah darurat yang tercetus akibat persengketaan kaum pada 1969. Darurat ini telah ditamatkan pada 2011," katanya.
Bagaimanapun, tegasnya, perkara ini belum lagi diputuskan dan hanya akan diketahui selepas perjumpaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Agong selesai.
Dari perspektif ekonomi, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kerajaan perlu menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 5.5 hingga 8% yang dibuat sebelum ini jika darurat politik benar-benar dilaksanakan.
Ini kerana jelas beliau, darurat politik tetap mempunyai kesan terhadap ekonomi, namun tidak menyeluruh seperti darurat penuh.
Menurutnya, darurat politik atau dalam konteks Malaysia buat masa ini, kebih kepada darurat kesihatan, adalah kekangan dan kelonggaran yang sedikit berbeza berbanding darurat biasa.
Beliau menjelaskan, kesan kepada ekonomi Malaysia akibat darurat ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu domestik dan luaran.
Sudah tentu, katanya, pihak luar akan berhati-hati dan pelaburan akan terjejas. Malah, dalam kes yang lebih ekstrem mungkin akan melakukan perancangan untuk menarik kembali atau mengurangkan pelaburan mereka di Malaysia.
"Tetapi untuk sektor domestik, saya kira kesannya mungkin minimum kerana buat masa ini pun aktiviti ekonomi domestik agak terhad akibat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
"Unjuran pertumbuhan ekonomi negara juga harus dikaji balik dan secara peribadinya saya rasa mungkin hanya pada suku ketiga tahun hadapan kita mampu positif kembali," katanya.
Beliau menjangkakan pertumbuhan negatif atau penguncupan ekonomi keseluruhan tahun ini adalah lebih besar berbanding apa yang dijangka sebelum ini. - DagangNews.com