Darurat? Pasaran saham terjejas | DagangNews Skip to main content

Darurat? Pasaran saham terjejas

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Sejak semalam desas-desus mengatakan Kabinet kerajaan ketika ini akan dirombak, tular dalam laman media sosial bagaimanapun telah disahkan palsu. 

Pagi ini, mesyuarat khas Kabinet pula telah mencetuskan pelbagai spekulasi yang ‘dihidu’ media antarabangsa bertujuan memutuskan langkah-langkah darurat untuk menggantung Parlimen dan menjalankan ‘darurat pentadbiran’ selama enam bulan sebelum diadakan pilihan raya. 

Selain itu, pelaksanaan darurat berkenaan juga difahamkan bagi menentang peningkatan kes COVID-19 dan menghentikan ketidaktentuan politik. 

Terbaharu, salah seorang menteri yang dihubungi MalaysiaKini mendedahkan Kabinet telah bersetuju dengan pelaksanaan darurat itu susulan ketidaktentuan berterusan dalam negara selain Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan desakan dari luar dan dalam.

 

muhyiddin
Muhyiddin Yassin

 

“Tunggu pengumuman,” kata menteri itu.

Laporan The Star pula mendakwa Muhyiddin bakal mempersembahkan cadangan pelaksanaan darurat itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan pada pukul 5 petang ini.

Sekiranya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, pelaksanaan darurat itu dijangka diumumkan pada 8 malam ini.

Seperti trend sebelum ini, pasaran Malaysia mudah dipengaruhi oleh spekulasi dan sentimen terutamanya melibatkan senario politik negara. 

Sejak dibuka pagi tadi, Bursa Malaysia terus menunjukkan trend menurun.

Walaupun paras KLCI naik 1.49 mata pada tengah hari tadi mencecah 1,500.29 daripada paras ditutup 1498.80 semalam, namun indeks itu merudum lebih rendah mencecah 1,497.89 pada 3.02 petang tadi.

Setakat 4.36 petang, KLCI terus merosot sehingga 8.41 mata atau 0.56%, mencecah paras 1,490.39.

Selain penularan COVID-19 merencatkan pertumbuhan ekonomi negara, Malaysia telah menyaksikan pelbagai senario politik melibatkan pergelutan kuasa antara ketua-ketua parti besar. 

Setelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa dirinya mempunyai sokongan majoriti penuh untuk membentuk kerajaan, UMNO pula menyatakan hasrat untuk keluar daripada PN, dan meletakkan syarat-syarat tertentu. 

Ketika ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan rombakan kecil dalam organisasi kepimpinannya di mana Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah dilantik sebagai Bendahari Agung baharu menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketika laporan ditulis pada pukul 5.20 petang, Muhyiddin sepatutnya sedang mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Pahang.  -   DagangNews.com