KUALA LUMPUR 23 Dis - Pelabur asing terus menjual bersih ekuiti Malaysia berjumlah RM1.07 bilion bagi minggu kesembilan berturut-turut, kata MIDF Research.
Katanya, mereka merekodkan jualan bersih setiap hari pada minggu lepas, dengan aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Selasa sebanyak RM368 juta.
Ia diikuti Jumaat (RM235.2 juta), Isnin (RM176.3 juta), Rabu (RM150.2 juta), dan Khamis (RM135.4 juta).
"Sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah hartanah (RM42.6 juta), teknologi (RM40.2 juta), dan perladangan (RM29.4 juta), manakala sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM500.5 juta), penjagaan kesihatan (RM168.9 juta), dan utiliti (RM160.5 juta)," katanya dalam laporan aliran dana, hari ini.
Sementara itu, institusi tempatan terus menyokong bursa tempatan untuk minggu kesembilan berturut-turut, dengan pembelian bersih berjumlah RM1.05 bilion dalam ekuiti domestik.
Sebaliknya, peruncit tempatan menjadi pembeli bersih ekuiti domestik, mencatatkan pembelian bersih RM13.8 juta selepas jualan bersih empat minggu berturut-turut.
Purata volum dagangan harian (ADTV) meningkat merentas semua kategori pelabur minggu lepas.
Pelabur runcit tempatan dan pelabur asing mencatatkan peningkatan dua angka, masing-masing meningkat sebanyak 10.2% dan 20.9%, manakala pelabur institusi tempatan menyaksikan peningkatan yang lebih sederhana sebanyak 5.7%. - DagangNews.com