Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir lancar institut baharu UCSI latih diplomat bidang diplomasi sains dan kelestarian | DagangNews Skip to main content

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir lancar institut baharu UCSI latih diplomat bidang diplomasi sains dan kelestarian

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 1 Sept - Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah melancarkan Institut Antarabangsa Sains Diplomasi dan Kelestarian (IISDS) yang diterajui oleh Universiti UCSI.

 

Dipimpin oleh Profesor Ulung Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, institut baharu ini akan berfungsi sebagai pertubuhan yang menghubungkan komuniti saintifik dengan penggubal dasar di rantau ASEAN dan seterusnya.

 

IISDS akan memberi tumpuan kepada diplomasi alam sekitar, kesihatan global, keselamatan makanan, serta perdagangan dan kewangan antarabangsa.

 

Misi institut tersebut adalah untuk melatih para diplomat muda, pegawai kerajaan dan pemimpin korporat dalam diplomasi sains, serta memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan ini dalam hubungan antarabangsa seperti rundingan multilateral perjanjian yang memberi tumpuan kepada isu global.

 

“Saya percaya penubuhan IISDS akan merancakkan lagi aktiviti dialog dan merangsang perbincangan dalam kalangan pakar, sarjana, penggubal dasar dan penyokongnya di seluruh dunia,” kata Datuk Zambry ketika merasmikan IISDS berkenaan di Kuala Lumpur pada 29 Ogos lalu.

 

“Dalam tempoh tujuh dekad sejak penubuhannya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengenal pasti beberapa cabaran baharu seperti perubahan iklim, kemampanan dan pelbagai isu alam sekitar lain yang menjadi fokus utama diplomasi global hari ini.”

 

Tambah beliau, penubuhan IISDS tepat pada masanya kerana ia penting untuk menangani kebimbangan yang sedang dihadapi dunia secara kolektif dan segera.

 

Beliau juga menawarkan kerjasama daripada Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan teruja untuk bekerjasama dengan IISDS.


 

zambri

 

ucsi

 


Prof Zakri pula berpendapat seni diplomasi sains antara pemimpin politik, penggubal dasar dan saintis berpotensi untuk menghasilkan penyelesaian yang munasabah kerana beliau percaya cabaran kemampanan memerlukan kerjasama pelbagai hala.

 

“Masalah ini tidak dapat diselesaikan tanpa kerjasama daripada negara-negara lain. Alat, teknik dan taktik dasar luar perlu disesuaikan dengan keadaan global yang semakin rumit dari segi saintifik dan teknikal,” katanya.

 

Universiti UCSI memperoleh markah tertinggi dalam kriteria kemampanan dalam kalangan semua universiti swasta di Malaysia dalam penarafan tahunan yang kompetitif.

 

UCSI ialah satu-satunya universiti di Malaysia yang mempunyai dua buah Pusat Kepakaran Serantau (RCE) bagi mempromosikan pembangunan mampan di peringkat tempatan oleh Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, cabang akademik dan penyelidikan PBB.

 

Berpusat di Kuala Lumpur dan Kuching, kedua-dua RCE mempromosikan Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6), Bandar dan Komuniti Lestari (SDG 11), Tindakan Iklim (SDG 13), Kehidupan di Tanah (SDG 15) serta Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kuat (SDG 16). - DagangNews.com