Denda RM200,000, penjara 20 tahun menanti penjual alat peranti teknologi penstriman tanpa kebenaran hak cipta | DagangNews Skip to main content

Denda RM200,000, penjara 20 tahun menanti penjual alat peranti teknologi penstriman tanpa kebenaran hak cipta

KUALA LUMPUR 21 Okt - Kepada individu atau peniaga yang menjual alat peranti teknologi penstriman yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan tegas termasuk denda tidak melebihi RM200,000 selain penjara tidak melebihi tempoh 20 tahun.

 

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, bagi mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan tindakan di bawah seksyen 43AA, Akta Hak Cipta 1987 

 

Beliau berkata, KPDNHEP tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dengan menggunakan peruntukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang membolehkan kesemua akaun milik pesalah/suspek dibekukan dan dilucuthak jika didapati bersalah. 

 

"Peruntukan kesalahan ini juga turut terpakai kepada mana-mana pemilik premis perniagaan atau pengurusan bangunan yang menyediakan atau menyewakan premis mereka kepada individu/peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan alat peranti teknologi penstriman yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran dan cetak rompak kerana bersubahat dan bekerjasama dengan peniaga terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Azman berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang yang berkaitan antaranya Pihak Berkuasa Tempatan, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Industri dalam usaha membanteras cetak rompak secara fizikal mahu pun digital. 

 

Bagi tempoh 2018 hingga September 2022, KPDNHEP telah berjaya membanteras pengedaran cetak rompak secara fizikal sebanyak 531 penghasilan kes dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 5.4 juta. 

 

Selain itu, penguatkuasaan secara maya juga merupakan antara tindakan yang berkesan dalam menyekat penyebaran cetak rompak secara digital di dalam medium internet antaranya tindakan bagi sekatan laman sesawang (web site blocking) dan penurunan kandungan (content removal).

 

Beliau berkata, tindakan itu merupakan kaedah yang paling pantas dan berkesan dalam melumpuhkan aktiviti penularan cetak rompak digital dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) dan pihak Industri atau pemilik hak cipta. 

 

Katanya Malaysia juga sering dijadikan contoh kepada negara-negara lain di atas keberkesanan melaksanakan sekatan laman sesawang (website blocking) dan penurunan kandungan (content removal) dalam melumpuhkan capaian kepada cetak rompak digital tersebut.

 

"Antara inisiatif KPDNHEP memerangi cetak rompak digital ini adalah melalui sekatan laman sesawang cetak rompak seperti program Cyber Copyright Enforcement (CYCORE). 

 

"Bermula 2021 sehingga kini sebanyak 27 filem telah menyertai program ini dengan jumlah sekatan laman sesawang yang telah berjaya disekat adalah sebanyak 319 sekatan dan sebanyak 1,902 penurunan kandungan telah berjaya diselesaikan," katanya. - DagangNews.com