KUALA LUMPUR 18 Sept - Destini Berhad dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi jalinan kerjasama akademik di antara kedua-dua entiti itu.
Perjanjian kerjasama itu itu menandakan komitmen kumpulan itu bagi memulakan kerjasama strategik dengan institut akademik tempatan.
Melalui kerjasama itu, Destini dan UPNM akan meneroka jalan kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi, latihan, program kerjasama perindustrian (ICP) dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pengarah Eksekutif Destini, Mejar (B) Datuk Kabol Surat berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi antara rakan strategik tempatan untuk UPNM.
“Kami menyedari bahawa inovasi dan akademik adalah pemacu kuat untuk pertumbuhan ekonomi dan kami ingin menyokong inisiatif ini dengan menyediakan pembangunan bakat dan memupuk profesional berkemahiran yang boleh menyumbang secara signifikan kepada industri," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Menerusi kerjasama itu, Destini dan UPNM akan menyumbang kepada pembangunan dan memberi peluang kepada graduan dalam menyediakan diri mereka untuk persekitaran kerja profesional pada masa hadapan.
Sementara itu, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad berkata, MoU itu membuka peluang menarik untuk kerjasama dan pertukaran ilmu antara UPNM dan Destini.
"Kami mengalu-alukan sektor swasta untuk menjadi pemegang kepentingan kami dan menyediakan bantuan yang diperlukan kepada ekosistem akademik kami," katanya. - DagangNews.com