Dewan Peniaga dan Usahawan India Selangor jangka 100 MoU bernilai RM4 bilion dimeterai pada Mei 2023 | DagangNews Skip to main content

Dewan Peniaga dan Usahawan India Selangor jangka 100 MoU bernilai RM4 bilion dimeterai pada Mei 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Nov - Dewan Peniaga dan Usahawan India Selangor (SICCE) menjangkakan sejumlah 100 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM4 bilion akan dimeterai melibatkan usahawan dari pelbagai negara termasuk India dan Sri Lanka pada Mei 2023.

 

Presiden SICCE, Datuk Dr. V. Shanmughanathan berkata, usaha dilihat berpotensi untuk direalisasikan selepas 10 MoU dengan nilai RM50 juta dimeterai dengan usahawan dari India dan Sri Lanka dalam satu sesi perbincangan perniagaan kepada perniagaan (B2B) anjuran SICCE, baru-baru ini.

 

Katanya, majlis itu dihadiri kira-kira 100 usahawan dari India dan Sri Lanka meliputi industri pendidikan, hospitaliti, makanan dan minuman, penjagaan kesihatan dan makanan tambahan, perkhidmatan teknologi maklumat, minyak dan gas serta pembangunan hartanah.

 

"Sesi perbincangan dan rangkaian hubungan B2B merupakan inisiatif yang diambil oleh pihaknya untuk merangsang industri kecil dan sederhana (IKS) di negara masing-masing khususnya Malaysia kerana sektor itu merupakan tulang belakang ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menggesa lebih ramai usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) mengambil bahagian dalam inisiatif seperti ini agar ia dapat membantu mereka dalam membina rangkaian selain meluaskan perniagaan ke tahap yang lebih besar.

 

sicce

 

Katanya, acara Business Connect SICEE merupakan program jemputan eksklusif yang dianjurkan kepada usahawan yang benar-benar serius dan komited untuk memajukan perniagaan mereka. 

 

sicce

 

Selain sesi padanan perniagaan, acara tersebut juga dipercayai akan membina dan mengiktiraf lebih ramai usahawan dan perniagaan momentum tinggi dengan komuniti tempatan dan antarabangsa. - DagangNews.com