Di sebalik janji-janji pilihan raya, PH masih kabur dalam menangani kos sara hidup | DagangNews Skip to main content

Di sebalik janji-janji pilihan raya, PH masih kabur dalam menangani kos sara hidup

Orang ramai di sebuah pasar malam di Sibu, Sarawak. - Gambar JORDAN LING

KUALA LUMPUR 15 Dis - Masalah kos sara hidup yang membelenggu kebanyakan rakyat di negara ini - nampaknya terus berlarutan walaupun pelbagai kenyataan sebelum ini dibuat oleh ahli politik dalam Pakatan Harapan (PH).

 

Pengerusi PH Anwar Ibrahim, sebaik dilantik sebagai perdana menteri, telah mengarahkan Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup meneliti isu yang telah lama membelenggu mereka dalam kumpulan B40 dan M40.

 

Dua minggu kemudian, bagaimanapun, masih belum ada sebarang cadangan konkrit oleh pemimpin tertinggi kerajaan.

 

Awal minggu ini, Anwar berkata, negara harus menyalurkan subsidi pukal untuk membantu kumpulan B40 dan M40 serta peniaga kecil. Beliau juga mengarahkan jabatan kerajaan untuk membangunkan kaedah yang sesuai untuk pelaksanaan subsidi bersasar.


 

Azizi Safar
                               Azizi Safar

 


Pemerhati politik Azizi Safar berkata kenyataan itu bermakna Anwar masih kekurangan kemampuan untuk melaksanakan subsidi sebegini.

 

"Beliau bergantung kepada pegawai kerajaan untuk mengeluarkan idea bagaimana untuk melakukan ini," katanya.

 

“Selepas bertahun-tahun mengatakan kerajaan gagal melaksanakan pengagihan subsidi yang betul kepada rakyat, anda akan fikir bahawa beliau akan mempunyai jawapan kepada masalah itu.

 

"Nampaknya dia juga tidak mempunyai cadangan konkrit," katanya kepada MalaysiaNow.

 

Kos sara hidup adalah sebahagian besar manifesto pilihan raya PH, yang turut berjanji untuk menghapuskan kartel, memastikan bekalan mencukupi, menyediakan insentif untuk meningkatkan pengeluaran, dan mengkaji semula konsesi lebuh raya.

 

Timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, yang kini menteri hal ehwal ekonomi Anwar, terkenal dengan cadangannya untuk menangani isu-isu ini. Selepas pelantikannya menganggotai Kabinet, beliau berkata sudah tiba masanya negara membuat keputusan berhubung kemungkinan meningkatkan harga runcit bahan api.


 

Geoffrey Williams
                       Geoffrey Williams

 


Pakar ekonomi Geoffrey Williams berkata subsidi pukal yang ada pada masa ini termasuk kira-kira RM4 bilion subsidi minyak masak, untuk pengeluar, pemproses, pengedar dan orang tengah.

 

“Ia tidak sampai kepada rakyat,” tambahnya. "Subsidi minyak masak RM4 bilion adalah bersamaan dengan peningkatan pendapatan asas bulanan RM115 untuk kumpulan isi rumah berpendapatan rendah B40."

 

Beliau berkata permintaan Anwar supaya penjawat awam memikirkan penyelesaian boleh dilihat sebagai sopan, tetapi menambah bahawa mereka akan gagal kerana tidak banyak kaedah berkesan untuk subsidi yang disasarkan.
 

Williams, pensyarah Malaysia University of Science and Technology (MUST), berkata subsidi yang disasarkan untuk produk tertentu tidak akan berfungsi, kecuali utiliti dan petrol yang harganya boleh ditetapkan secara berperingkat.

 

“Meneruskan subsidi kini merencatkan pasaran,” katanya.

 

"Kita mesti beralih kepada subsidi untuk pendapatan, bukan produk."

 

Sementara itu Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang berkata kerajaan sepatutnya mempunyai perancangan untuk subsidi bersasar sebelum menjejakkan kaki ke Putrajaya.

 

“PH menjadi kerajaan selama 22 bulan selepas pilihan raya umum 2018,” katanya.

 

"Mereka sudah tahu mengenai pelaksanaan pengagihan subsidi yang dikatakan banyak melibatkan ketirisan dan salah arah."

 

Williams pula mengakui manifesto PH mengenai kos sara hidup tidak mempunyai penyelesaian khusus. Bagaimanapun, beliau berkata gabungan itu boleh mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai isu itu kerana ia telah membentuk kerajaan.

 

"Manifesto BN adalah khusus untuk membantu rakyat dengan kos sara hidup melalui skim pendapatan asas bantuan," katanya.

 

"Ini adalah idea yang bagus dan boleh menjadi lebih bercita-cita tinggi untuk merangkumi semua B40 atau bahkan B50. Dalam kerajaan baharu, menggabungkan idea yang baik daripada semua orang akan menjadikan agenda dasar lebih kukuh dan lebih inklusif." - DagangNews.com