DKSH Malaysia sampaikan sumbangan kepada 71 kanak-kanak, keluarga kurang bernasib baik | DagangNews Skip to main content

DKSH Malaysia sampaikan sumbangan kepada 71 kanak-kanak, keluarga kurang bernasib baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Bersempena dengan sambutan Krismas, DKSH menyampaikan sumbangan kepada 71 kanak-kanak dari Rumah K.I.D.S dan Rumah Perlindungan Agathians serta keluarga yang berdaftar dibawah program Bantuan Kasih DSKH.

 

Terletak di Subang Jaya dan Klang, Rumah K.I.D.S. menempatkan 41 anak yatim, mangsa penderaan dan kanak-kanak yang ditinggalkan berusia 1 hingga 20 tahun.

 

Rumah Perlindungan Agathians yang terletak di Petaling Jaya menempatkan kanak-kanak lelaki kurang bernasib baik berusia antara 5 hingga 20 tahun.

 

Kanak-kanak berkenaan bersama keluarga yang berdaftar dibawah Bantuan Kasih masing-masing menerima hadiah yang diiginkan seperti buku mewarna, pakaian dan aksesori komputer selain beberapa barangan lain. 

 

Ketua Pengurusan DKSH Malaysia, Nicholas McLaren berkata, sukarelawan yang terlibat dengan program itu menyampaikan 130 hadiah bersama alat permainan dan buku yang didermakan oleh kakitangan DKSH kepada kanak-kanak tersebut.

 

Beliau berkata, DKSH Malaysia juga menyumbangkan barangan keperluan harian dan barang basah dalam usaha menyokong keluarga dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

 

"Di sini, kami bertanggungjawab untuk memberikan impak sosial dan komitmen penuh kepada komuniti tempatan.

 

"Musim perayaan ini mungkin tidak sama kerana orang ramai masih berdepan situasi pandemik selain banjir yang menimpa beberapa negeri baru-baru ini. 

 

"Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak akan menceriakan kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan," katanya. - DagangNews.com