Dua syarikat Rakan Usahawan PUNB lakar sejarah buka restoran pertama di UK | DagangNews Skip to main content

Dua syarikat Rakan Usahawan PUNB lakar sejarah buka restoran pertama di UK

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua, kanan) berkenan mencemar duli berangkat merasmikan pembukaan Meet Bro Steakhouse di Paddington, London, UK baru-baru ini. Turut kelihatan, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah (kanan).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mei - Kerjasama dua syarikat Rakan Usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Palace Butcher Resources Sdn Bhd dan Serai Group Sdn Bhd melakar sejarah tersendiri dengan pembukaan restoran pertama mereka, Meet Bro Steakhouse di Paddington, London, United Kingdom (UK), baru-baru ini.

 

Pengerusi Interim PUNB, Datuk Mohammad Ismail berkata, restoran itu adalah kerjasama julung kali antara kedua-dua syarikat tersebut di bawah rangkaian restoran mereka yang terkenal, Me’nate Steak Hub, Serai dan Jibby & Co.

 

Katanya, kejayaan di peringkat antarabangsa itu merupakan pencapaian penting buat mereka dalam usaha untuk melakar satu lagi kejayaan membanggakan dalam industri makanan dan minuman (F&B) di Malaysia. 

 

"Sepanjang mengusahakan perniagaan, mereka menunjukkan rekod prestasi kukuh dalam pembangunan dan pengendalian rangkaian restoran masing-masing. Ini melayakkan mereka mendapat pelbagai pengiktirafan dan penghargaan daripada industri F&B tempatan.

 

"Hasil kerjasama antarabangsa ini turut dijayakan PUNB melalui sokongan kewangan dan pembangunan. Kedua-dua syarikat itu sudah menjadi sebahagian Rakan Usahawan PUNB sejak 10 tahun lalu. 

 

"PUNB turut berperanan menyokong mereka dalam mengembangkan perniagaan di peringkat tempatan dan akan terus menunjangi pengembangan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan.

 

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat merasmikan pembukaan restoran tersebut.

 

 

punb
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tiga, kanan) bergambar bersama Sultanah Nur Zahirah (tiga, kiri), Datuk Mohammad Ismail (dua, kanan), Izwan Zainuddin (dua, kiri), Pengurus Besar Bahagian Kewangan dan Transformasi PUNB, Azman Abdullah (kiri) dan Ketua Unit Perniagaan Antarabangsa PUNB, Hazina Mohamad (kanan).

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, kejayaan Rakan Usahawan PUNB membuktikan komitmen pihaknya dalam membantu usahawan meluaskan perniagaan dan meneroka pasaran baharu di peringkat antarabangsa menerusi 'Inisiatif Pengantarabangsaan'.

 

Katanya, sejajar dengan transformasi baharu PUNB dengan tema, ‘Reinventing PUNB, Path to Sustainability’ (R-25), PUNB komited dalam pembangunan strategik usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan dan perdagangan pengedaran di dalam dan luar negara.

 

 

punb

 

 

"PUNB tidak mengkhususkan kepada industri tertentu untuk melebarkan sayap ke luar negara, sebaliknya peluang dibuka kepada semua Rakan Usahawan PUNB mengikut kesesuaian pasaran dan peluang yang ada.

 

"Kami bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan serta badan professional untuk meneroka peluang perniagaan bersesuaian dengan Rakan Usahawan PUNB. Selain itu, ia terdiri daripada pelbagai industri seperti F&B, tekstil dan pemborong serta runcit dijemput  menyertai misi perdagangan di luar negara sama ada menjalankan kerjasama atau mengembangkan perniagaan," katanya.

 

Menurut Izwan, misi perdagangan yang dijalankan tidak terhad kepada pengembangan perniagaan, sebaliknya turut membantu usahawan mendapatkan sumber bahan mentah, rantaian bekalan dan menjalinkan kerjasama dengan syarikat luar.

 

Katanya, untuk Inisiatif Pengantarabangsaan, PUNB menawarkan gabungan pembiayaan perniagaan bermula dari RM100,000 hingga RM10 juta dan insentif padanan sehingga RM500,000 untuk syarikat Rakan Usahawan PUNB yang layak.

 

Tambahnya, selain memberikan bantuan pembiayaan perniagaan, PUNB menawarkan sokongan pembangunan termasuk pemantauan dan nasihat, latihan keusahawanan dan pembangunan serta pembangunan perniagaan.

 

Setakat ini, PUNB telah menganjurkan enam misi perdagangan, termasuk misi menghasilkan projek kerjasama antara Palace Butcher Resources (Me’nate) dan Serai Group untuk membuka restoran Meet Bros Steakhouse di UK

 

Selain itu, misi perdagangan ke UK, Wales dan Dubai dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), peluang perniagaan untuk Rakan Usahawan PUNB menerusi misi perdagangan dan pelaburan ke Afrika Selatan, Lahore dan Faisalabad, Pakistan, Kobe, Nagoya dan Tokyo di Jepun dan Taipei, Taiwan. - DagangNews.com