MACHANG 7 Nov - Bermula sebagai penjaja makanan dalam kereta api bersama ibu bapa pada zaman kanak-kanak sebelum berniaga sendiri di pasar malam pada usia 14 tahun, kini Hasmah Mohamad Ariffin berjaya menjadi pembekal makan haiwan yang berjaya di Kelantan dan memiliki premis di Jalan Kempas di sini.
Usahawan yang berusia 51 tahun itu mengakui bukan mudah untuk berjaya kerana perniagaan yang diusahakannya memerlukan modal yang besar.
“Saya memang minat berniaga sejak kecik lagi dan saya tidak pernah bersekolah seperti mereka yang lain, memandangkan keluarga susah dan tidak mampu untuk menghantar ke sekolah.
“Sejak kecil saya mengikut kedua ibu bapa berniaga dengan menjaja makanan dalam kereta api sehinggalah bermula usia 14 tahun, saya berniaga sendiri di pasar malam di Gua Musang dengan menjual ayam.
“Selepas berkahwin, saya yang berasal dari Kampung Bertam, Gua Musang mula berpindah di Machang, namun masih meneruskan dengan menjual di pasar malam," katanya.
Hasmah berkata, di sebalik kejayaannya hari ini adalah dengan adanya bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kerana sehingga kini lebih 30 kali pinjaman dibuat dengan AIM.
“Banyak AIM bantu saya. Saya bermula dengan AIM pada 2014 bagi tujuan kos upah haji arwah kedua ibu bapa saya. Selepas itu saya terus membuat pinjaman dengan AIM untuk tujuan perniagaan.
“Selain saya, tiga anak juga turut meminjam dengan AIM, namun saya yang membayarnya. Sekarang pun saya masih meminjam sebanyak RM30,000 selama enam bulan.
“Saya akui AIM banyak membantu perniagaan saya dan saya cukup berterima kasih kepada AIM kerana sentiasa membantu usahawan seperti saya,” katanya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, lima tahun lalu, suaminya, Zainal Abidin Daud, 62, mula berniaga makanan haiwan sebelum jatuh sakit setahun kemudian.
Bermula detik itu, dia mula mengambil alih perniagaan yang diusahakan suami dan ketika itu berat untuk dia lalui memandangkan suami banyak berhutang dengan pihak pengilang.
“Ketika itu segala simpanan saya habis untuk melangsaikan hutang suami dan ujian berat itu akhirnya berlalu apabila sehingga kini sudah empat tahun saya berusaha mengemudi perniagaan makanan haiwan.
“Alhamdulillah dengan rezeki Allah, makanan haiwan ini saya bekalkan kepada pemborong di Gua Musang, Jeli, Pasir Puteh dan Machang dengan pendapatan sehari sebanyak RM30,000,” katanya yang sehingga kini masih berniaga di Pasar Malam di Gua Musang. - DagangNews.com