Dzuleira Abu Bakar ditukar dari MaGIC ke TPM | DagangNews Skip to main content

Dzuleira Abu Bakar ditukar dari MaGIC ke TPM


KUALA LUMPUR 13 April  - Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melantik Dzuleira Abu Bakar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM) yang baharu, berkuat kuasa 15 April, 2021.

 

Dzuleira, yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia  (MaGIC), akan menggantikan Che Akhma Ismail yang melepaskan jawatan pada Februari 2020.

 

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata penglibatan Dzuleira yang luas dalam pembangunan syarikat permulaan teknologi tempatan dan ekosistem inovasi bersama dengan latar belakang dalam modal teroka adalah penting dalam mentransformasikan TPM dan mempercepatkan pengkomersialan penyelesaian teknologi dan inovatif.

 

“Peralihan Dzuleira ke TPM merupakan sebahagian daripada usaha MOSTI untuk menyusun semula dan mengukuhkan agensinya untuk memastikan mereka berada dalam kedudukan yang baik untuk melaksanakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi  Negara (DSTIN) dan Rangka Kerja Pembangunan Ekonomi dan Inovasi Teknologi Sains Malaysia (MySTIE 10-10),” katanya dalam kenyataan media, lapor Bernama.

 

Khairy berkata pada tahun pertama menerajui MOSTI, beliau telah mengkaji bidang keutamaan yang memerlukan campur tangan kerajaan, bermula dengan agenda pengkomersialan.

 

KJ
Khairy Jamaluddin

 

“Kami menyasarkan untuk mempercepatkan transformasi Malaysia kepada ekonomi yang dipacu oleh inovasi dengan memacu penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi TPM Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata beliau yakin bahawa Dzuleira akan dapat membawa perubahan yang diperlukan kepada TPM sejajar dengan visi MOSTI. - DagangNews.com