Eco World minta tempoh pertimbang gabungan dengan UEM Sunrise | DagangNews Skip to main content

Eco World minta tempoh pertimbang gabungan dengan UEM Sunrise

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Syarikat hartanah, Kumpulan Eco World Development Berhad (Eco World) meminta tempoh masa untuk mempertimbangkan cadangan gabungan dengan UEM Sunrise Berhad (UEMS). 

Perkara itu diumumkan menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada syarikat induk UEMS, Kumpulan UEM, di mana memohon tempoh masa sehingga 2 Januari 2021. 

“Syarikat akan membuat pengumuman lanjut berhubung perkembangan perkara ini,” kata Eco World menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia. 

Pada 5 Oktober lalu, Kumpulan UEM mencadangkan untuk bergabung dengan Eco World yang dihantar menerusi surat cadangan bertarikh 2 Oktober 2020.

Cadangan itu dibuat susulan keadaan ekonomi yang lemah dan haluan pasaran mendorong pemain industri untuk menggabungkan sumber dan keupayaan bagi membentuk platform perniagaan kukuh.

Kumpulan UEM berkata, cadangan penggabungan berkenaan dijangka membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia dalam menawarkan kepakaran unggul untuk setiap segmen industri hartanah.

Dalam cadangan itu, UEMS bakal menerbitkan saham baharu pada kadar 44.3 sen setiapnya dan ditukarkan untuk saham Eco World pada nilai 46.9 sesaham. 

Cadangan itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada pihak-pihak berbeza di mana ada yang mendakwa penggabungan berkenaan meletakkan UEMS dalam kedudukan untung, sebaliknya memberi kerugian kepada Eco World. 

Seperti dilaporkan oleh DagangNews sebelum ini, Penganalisis Kenanga Investment Bank Berhad, Lum Joe Shen mempersoalkan sejauh mana rasional Eco World ke arah penggabungan tersebut. 

Ini berikutan langkah itu akan menyebabkan pemegang saham utama hilang hak pemilikan majoriti, status penyenaraian, hilang jenama yang dimilikinya dan kurang efisien dari segi membuat keputusan.  - DagangNews.com