edotco lancar Pelan Tindakan Kemampanan, muncul antara 5 syarikat menara telekomunikasi terbaik global | DagangNews Skip to main content

edotco lancar Pelan Tindakan Kemampanan, muncul antara 5 syarikat menara telekomunikasi terbaik global

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - edotco Group melancarkan Pelan Tindakan Kemampanan bagi memenuhi komitmennya untuk menghubungkan dunia secara saksama dan mampan. 

 

Pelan tindakan itu digariskan dalam Laporan Kelestarian sulung syarikat yang menggambarkan misi organisasi untuk menjadi antara 5 syarikat menara telekomunikasi Global Teratas (TowerCo) melalui pertumbuhan mampan yang berjaya mencapai neutraliti karbon menjelang 2030.

 

Transformasi digital semakin pantas di seluruh Malaysia dan dunia, menjadikan akses dalam talian kini sebagai hak asasi manusia.

 

"Bagaimanapun, memudahkan ketersambungan yang diperlukan untuk memastikan masyarakat sentiasa berhubung secara digital turut melibatkan kos alam sekitar.

 

"TowerCo bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam menjadikan operasi mereka mampan supaya mereka boleh membantu mempercepatkan usaha kemampanan merentas masyarakat dan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Adlan Ahmad Tajuddin berkata, dalam usaha kumpulan itu ke arah menyediakan sambungan akses yang lebih besar, TowerCos seharusnya memikul tugas untuk membina infrastruktur yang diperlukan bagi merapatkan jurang digital.

 

Beliau berkata, Rangka Kerja Kemampanan kami menggariskan ikrar mereka untuk memenuhi impian itu tanpa mengabaikan asas ESG bagi membolehkan komuniti berkembang maju.

 

"Kami kini melangkah ke fasa seterusnya untuk memperkasakan transformasi digital yang saksama dan merealisasikan masa depan 5G  dengan komitmen penuh untuk memenuhi aspirasi kami," katanya.

 

edotco komited untuk membina masa hadapan berdasarkan bidang tumpuan strategik seperti mengurus kesan alam sekitar dan penyahkarbonan (Alam Sekitar), mewujudkan hubungan bersama pihak berkepentingan (Sosial) dan memenuhi piawaian dan amalan terbaik untuk melindungi kepentingan pihak terlibat (Tadbir Urus).

 

Melangkah ke hadapan, edotco akan terus menghijaukan operasinya melalui Pusat Kecemerlangan Reka Bentuk (CoDE) dalam menginovasi reka bentuk menara menggunakan bahan alternatif, struktur dan sistem kuasa bagi memupuk masa depan rendah karbon.

 

Sehingga kini, edotco berjaya mengurangkan separuh jejak pelepasan karbonnya sebanyak 57% secara purata bagi setiap tapak. - DagangNews.com