KUALA LUMPUR 29 Nov - Capital A Berhad diramal mencatatkan keputusan lebih baik pada 4QFY24 didorong peningkatan penumpang dan pengukuhan nilai ringgit.
MIDF Research berkata, trafik penumpang dijangka pulih kepada 88% daripada tahap pra pandemic, disokong oleh pemulihan kapasiti sebanyak 84%.
Katanya, kumpulan itu merancang pelancaran 18 laluan domestik dan antarabangsa baharu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari India dan China, di mana ia dilaporkan memegang lebih 50% bahagian pasaran dalam laluan tersebut.
"Strategi pengembangan armada untuk 4QFY24 termasuk penghantaran lima pesawat tambahan dengan empat diperuntukan kepada AirAsia Malaysia dan satu kepada AirAsia Thailand.
"Menjelang akhir FY24, rancangannya adalah untuk memiliki 205 pesawat, terdiri daripada 195 pesawat operasi yang tersedia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, Capital A mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM1.64 bilion untuk 3QFY24, berbanding kerugian bersih RM102.75 juta setahun yang lalu, kerana kumpulan itu mengiktiraf RM2.27 bilion dalam keuntungan pertukaran asing berbanding dengan kerugian sebanyak RM93.92 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Kumpulan itu yang sedang menjual perniagaan penerbangan tambang rendahnya kepada AirAsia X Bhd mencatatkan keuntungan forex yang besar disebabkan kelemahan dolar AS berbanding mata wang tempatan pasaran tempat kumpulan itu beroperasi.
Hasil suku tahunan kumpulan itu meningkat 16.6% tahun ke tahun kepada RM4.93 bilion, dirangsang perniagaan penerbangannya yang menyaksikan peningkatan 15% tahun ke tahun dalam hasil kepada RM4.5 bilion.
Capital A mencatatkan pendapatan operasi bersih sebanyak RM9.85 juta pada 3QFY24 berbanding kerugian operasi sebanyak RM181.59 juta sebelumnya.
Sementara itu Public Investment Bank (PublicInvest) menjangkakan prospek lebih baik disokong oleh ringgit yang lebih kukuh, harga bahan api jet yang lebih rendah dan permintaan perjalanan udara yang teguh.
Katanya, dengan rancangan penstrukturan semula kumpulan yang menggariskan laluan yang jelas untuk memulihkan operasinya, pihakna percaya Capital A berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan perjalanan yang semakin meningkat di seluruh rantau ini.
"Tambang dan faktor muatan dijangka kekal kukuh pada suku keempat, didorong oleh permintaan perayaan dan bermusim dengan kumpulan itu berhasrat mengembangkan armadanya dengan pengenalan pesawat A321neo baharu di Malaysia dan Thailand.
"Ketika pelupusan perniagaan penerbangannya hampir selesai, kumpulan secara aktif menyusun semula usaha untuk meluaskan hubungan dengan pelanggan pihak ketiga untuk mempelbagaikan aliran hasil dan mengukuhkan kehadirannya di semua sektor," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.57 sesaham.- DagangNews.com